Cukup dengan hanya berpakaian lusuh dan muka sedikit comot, seorang pengemis warga asing mampu meraih pendapatan lumayan sehingga mencecah RM8,500 sebulan di kaki lima hadapan masjid. Pendapatan 'masyuk' menyamai gaji pokok kakitangan awam yang berada pada gred DG54 ke atas selain eksekutif yang telah berkhidmat lebih 10 tahun di syarikat swasta.
Seorang lelaki warga Sri Lanka dikenali sebagai Mohamed berkata, dia mampu mengumpul hasil RM8,500 hasil usaha mengemis dengan menjadikan kawasan tarikan pelancong di ibu negara sebagai lubuk meminta sedekah. Lelaki itu ditemui secara eksklusif oleh wartawan Kosmo! dalam operasi oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di sekitar Masjid India dekat sini baru-baru ini. Dia mendakwa baharu sahaja tiba di negara ini bulan lalu menggunakan pas lawatan sosial jangka pendek kononnya untuk berniaga dan menjual batu permata.
Kata lelaki itu lagi, dia juga hanya menjadikan ruang legar masjid-masjid di sekitar Kuala Lumpur sebagai tempat untuk berteduh, meskipun tahu setiap rumah ibadat itu akan dikunci selepas selesai waktu isyak. “Saya datang sini untuk berniaga sahaja, Masjid India ramai orang sebab itu saya duduk di situ, dan juga saya memang selalu pergi dari negara ke negara untuk menjual batu permata ini. “Isteri dan anak ada di rumah (Sri Lanka), jadi buat apa saya tidur di hotel. Lebih baik tidur di masjid yang percuma dan lebih berkat,” katanya ketika diselamatkan dalam Operasi Pembasmian Aktiviti Pengemis di Sekitar Bandar Raya Kuala Lumpur membabitkan kakitangan JKM kelmarin. Bagaimanapun, ketika diperiksa pegawai JKM, lelaki berkenaan gagal membuktikan dirinya seorang peniaga dan tiada sebarang batu permata yang ditemui di dalam begnya. Selain itu, pemeriksaan terhadap wang yang dimiliki lelaki itu mendapati dia menyimpan banyak wang kertas bernilai RM1 dan RM5 yang dipercayai disedekahkan oleh orang ramai. Sementara itu, seorang pengemis wanita warga Indonesia dikenali sebagai Nafsah turut diselamatkan ketika membawa seorang bayi lelaki berusia kurang 20 hari untuk meminta sedekah daripada orang ramai di Masjid Jamek Kampung Melayu, Kampung Baru, di sini. Wanita berusia 24 tahun itu berkata, bayi tersebut baharu sahaja dilahirkan pada 14 Mac lalu, namun sudah dibawanya untuk meminta sedekah di sekitar Masjid Jamek Kampung Baru dengan alasan tiada orang untuk menjaganya di rumah. Jelas isteri kepada seorang lelaki tempatan itu, dia meminta sedekah hanya untuk suka-suka kerana bosan tinggal di rumah. “Sebelum ini saya pernah dihantar pulang ke Indonesia selepas ditahan imigresen pada 2018, tetapi saya masuk semula ke Malaysia pada 2019 secara haram dan berkahwin pada tahun itu. “Macam hari ini, saya banyak habiskan masa duduk di dalam masjid dan masih mampu mengutip RM60,” katanya. Menurut Nafsah, dia yang tinggal di Danau Kota, Setapak dan berpengalaman menetap di Malaysia hampir tujuh tahun merasakan tindakan yang dilakukannya itu tidak salah, namun tidak akan mengulanginya lagi selepas ditahan pihak JKM. Media semalam melaporkan kawasan tumpuan ramai di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), Dataran Merdeka, Masjid Jamek dan Jalan Masjid India di sini menjadi ‘lubuk wang mudah’ kepada pengemis asing untuk meraih simpati orang ramai. Dengan ‘bermodalkan’ anak kecil serta berlakon kononnya menghidap sesuatu penyakit selain mengalami kecacatan, pengemis warga Yemen, Syria, Pakistan dan Rohingya akan duduk di tepi lorong menadah tangan supaya dikasihani. Tanpa rasa takut, mereka menjaja surat rayuan kononnya bukti anak mereka sedang sakit dan duit tersebut didakwa bagi menampung kos perubatan dan kehidupan di ibu kota. Sumber: Kosmo! Online
|
ADVERTISEMENT