Awal Ashaari mendedahkan kopi menyatukan cintanya dengan Scha Al Yahya. Ketika ditemui pada majlis pembukaan cawangan pertama kedai kopi, The Great Coffee Club, Seksyen 13, Shah Alam, pengacara popular itu meluahkan rasa terharu kerana impiannya membuka kedai kopi menjadi kenyataan.
"Saya dan Scha memang penggemar kopi. Kalau nak 'throwback' kisah cinta saya bersama Scha dulu pun, kami selalu 'dating' di sebuah kedai kopi di Bangsar. "Jadi boleh dikatakan kopi ini menyatukan saya dan Scha kerana kami berdua berkongsi air minuman yang sama. "Malah, setiap kali kami melancong ke luar negara, perkara pertama yang kami akan kunjungi adalah kedai kopi kerana nak rasa kelainan di setiap lokasi. "Hari ini saya sangat terharu kerana impian yang dah lama saya tunggu akhirnya menjadi kenyataan dan segala proses berjalan dengan pantas," katanya kepada Harian Metro.
Shah Alam menjadi lokasi pilihan Awal membuka cawangan kedai kopi pertamanya kerana menepati target pasaran dan lokasinya yang strategik, dekat dengan beberapa universiti. "Kalau kita lihat tidak banyak kafe atau kedai kopi yang seumpama dengan kedai saya. Jadi sebagai permulaan saya pilih Shah Alam. "Malah, kedai kopi ini juga boleh menjadi lokasi untuk pelajar universiti 'healing' atau bersantai. Sebab itulah rekaan kedai kopi ini sangat dekat dengan jiwa muda selain semua orang boleh datang nikmatinya," katanya. Awal juga sedang dalam perancangan untuk menjadikan kedai kopi itu sebagai lokasi program poscast kendaliannya, The Great Coffee Talk selepas Aidilfitri ini. Katanya, podcast yang akan disiarkan di platform YouTube serta media sosial itu akan menjemput individu yang dapat memberi inspirasi setiap minggu untuk berkongsi kisah hidup dan kejayaan mereka. - CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|