Seorang individu berkongsi video menyaksikan gelagat seorang pemandu yang meletakkan kenderaannya di bahu jalan sehingga menyusahkan pengguna jalan raya yang lain. Apa yang lebih menggeramkan adalah pemandu kenderaan berkenaan berbuat demikian hanya kerana mahu singgah di sebuah restoran makanan segera!
"Kepala ho*** dia parking macam tu nak pergi McDonald's. Menyirap tengok bini dia keluar tanpa rasa bersalah tengok kereta dekat belakang," tulisnya di kapsyen. Menerusi video berdurasi 34 saat yang dirakam kamera papan pemuka (dashcam) keretanya, individu itu memandu di belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova. Apabila tiba di satu persimpangan, individu tersebut mahu membelok ke kiri namun MPV di hadapannya, yang disangka turut mahu membelok kiri, tiba-tiba memperlahankan kenderaan dan berhenti. Seorang penumpang wanita dalam kenderaan tersebut kemudian keluar dan terus menyeberangi jalan, dipercayai menuju sebuah restoran makanan segera.
Individu tersebut menyangka MPV itu hanya berhenti seketika untuk menurunkan wanita berkenaan, namun ternyata sangkaan tersebut meleset sama sekali. Kenderaan MPV itu terus berada di bahu jalan, seolah-olah dia sedang berada di kotak parkir, walaupun individu berkenaan sudah membunyikan hon. Pemandunya kemudian menyalakan lampu isyarat (signal) sebelah kiri namun tetap tidak berganjak sesudah menyedari terdapat kenderaan lain di belakangnya. Walaupun diselubungi rasa geram ekoran sikap pemandu berkenaan yang sesuka hati memberhentikan kenderaan tengah jalan seperti sedang parkir, individu berkenaan mengambil langkah untuk mengalah dan terus berlalu. "Mana boleh parking situ... jalanlah depan!" bebelnya sambil mengubah haluan. Difahamkan, kejadian berlaku di Desa Pandan, Kuala Lumpur. Di ruangan komen, rata-rata warga maya turut sama meluahkan rasa geram dengan sikap tidak bertanggungjawab pemandu MPV berkenaan. "Kenapa tak hon? Buka tingkap, beritahu dia 'bahaya nak park sini. Kalau tersodok lagi terbang duit. Kaya tak apa... aku kedekut. Jangan susahkan orang. "Tak ada etika... berhenti sesuka hati. Ini spesies dia nak senang, biar orang susah. "Sodok je, tekan minyak kasi full cecah lantai. "Kalau mood aku tak baik, memang aku hon sampai kereta depan tu bergerak," komen mereka.-CARI Sumber: mStar Online
|
ADVERTISEMENT