Fasha Sandha menerima pendapat daripada sahabatnya, Datuk Fizz Fairuz berkenaan isu cedera di set penggambaran Anak Tuan baru-baru ini. Kata Fasha, dia melihat komen Fizz yang menyentuh mengenai lakonan yang terlalu beria-ia dari sudut positif.
"Datuk Fizz adalah sahabat rapat saya. Saya tak tahu maksud dia apa, tapi, mungkin dia cuma berikan pendapatnya supaya selepas ini tidak lagi berlaku kecelakaan di set penggambaran. "Saya terima pendapatnya dan melihat dari sudut positif. Begitu juga dengan semua pendapat yang lain kerana saya tahu, setiap orang ada pendapat mereka yang tersendiri," katanya kepada Harian Metro.
Hikmah dari insiden yang menyebabkan kecederaan di bahagian matanya itu juga membuatkan lebih banyak pihak membuka mata dari sudut keselamatan di set penggambaran. "Hikmah daripada apa yang berlaku adalah, ia menimbulkan kesedaran buat kita semua untuk lebih berhati-hati dan pastikan kawasan penggambaran selamat. "Selama ini, saya tak kisah sebab ada orang yang akan memeriksa dari sudut keselamatan. Mungkin selepas ini, saya akan periksa sendiri. Sebab itu saya tak salahkan sesiapa sebab saya anggap ini dugaan kecil," katanya.
Ditanya mengenai hubungannya dengan Azhan Rani selepas insiden itu, Fasha berkata, ia adalah kemalangan dan mereka berdua menjalankan tugas sebagai pelakon untuk menjiwai watak. "Saya tak salahkan Azhan atas apa yang berlaku. Saya sangat meminati lakonannya. Dia cakap, janganlah serik untuk bekerja dengannya lagi selepas ini. Saya pun beritahu perkara sama. "Mungkin pada ketika itu, kami menjiwai watak kami. Lagi pula, itu adalah kali pertama kami berlakon bersama dan memang saya sendiri pun mengimpikan peluang untuk berlakon dengannya. Jadi, kami nak berikan yang terbaik," katanya.
Dalam insiden di set penggambaran Anak Tuan itu, Fasha cedera ketika menjayakan babak keganasan dalam rumah tangga apabila watak suami yang dilakonkan Azhan, menolaknya hingga dia terhantuk di bucu katil kayu. Insiden itu menyebabkan Fasha patah tulang di bahagian mata kiri dan bebola mata kirinya juga berdarah. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|