Selayang: Sekurang-kurangnya 20 aduan berkenaan isu lori diletakkan di kawasan perumahan diterima Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dalam tempoh sebulan. Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu juga kerap melakukan operasi sebagai tindakan terhadap aduan itu namun masalah berkenaan seperti tiada penyelesaian.
Timbalan Yang Dipertua MPS, Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata, baru-baru ini pihaknya menyita dua lori lima tan dan mengeluarkan empat kompaun dalam operasi sitaan kenderaan berat di kawasan Taman Selayang Mutiara dan Taman Garing Gemilang, di sini. Katanya, tindakan diambil selepas penduduk setempat mengadu terganggu dengan kehadiran kenderaan berat di kejiranan mereka. "Lori lebih dua tan tidak boleh parkir di taman perumahan, sepatutnya mereka perlu letak di kilang atau syarikat masing-masing. "Kita ambil tindakan ini (sita) kerana ada antara mereka (pemilik atau pemandu lori) adalah pesalah berulang. Jadi kita ambil tindakan supaya mereka sedar dan tidak ambil mudah.
"Jika dikesan berlaku, kami akan keluarkan notis dahulu, tetapi jika lori berkenaan tidak dialihkan dalam tempoh diberikan, maka kami akan kompaun atau sita," katanya ketika ditemui. Adi Faizal berkata, langkah terbaik diambil ketika ini adalah menerusi advokasi kepada pemilik lori dan pada masa sama operasi penguatkuasaan secara berterusan. Bagaimanapun, katanya, penguatkuasaan sahaja tidak dapat menyelesaikan masalah, justeru pihaknya sedang mengenal pasti tapak tanah sesuai untuk dijadikan tempat meletak kenderaan yang selamat berhampiran kediaman mereka. LORI yang diletakkan di kawasan perumahan dan menghalang laluan ditunda ke depoh simpanan MPS. LORI yang diletakkan di kawasan perumahan dan menghalang laluan ditunda ke depoh simpanan MPS. "Kita cuba selesaikan semua aduan dan melindungi hak semua pihak. Kehadiran lori-lori diparkir depan rumah jiran memang mengganggu. "MPS akan membuat perancangan lebih strategik. Buat masa ini kita sedang mengenal pasti tanah lapang yang boleh dijadikan parkir untuk kenderaan berat. "Untuk permulaan kita akan cari tanah milik kerajaan yang boleh digunakan kerana jika menyewa tanah persendirian kosnya tinggi," katanya. Beliau berkata, MPS akan bekerjasama dengan semua pihak berkaitan bagi memastikan hanya penyelesaian terbaik diambil untuk semua pihak yang terbabit. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT