Peniaga pisang goreng keju Bananadibs, Ahmad Adib Aidil yang tular di media sosial turut disebut namanya di dalam sidang Dewan Rakyat hari ini. Namanya disebut oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menceritakan kisah Ahmad Adib menjalankan perniagaan sewaktu pandemik Covid-19 sekali gus terpaksa menangguhkan impiannnya menjadi juruterbang.
“Semasa negara dilanda Covid-19, ramai usahawan kecil berjaya dilahirkan dan ada yang terdesak, ada juga berjaya mencari peluang baharu kerana keterdesakan tersebut. Bukan sahaja cerita Makcik Kiah yang sering didengarkan, tapi banyak juga usahawan muda seperti saudara Adib. “Dia menggerakkan Bananadibs yang sangat terkenal, ‘viral’ dan kekal sampai hari ini. Saudara Adib merupakan anak muda terpelajar dan pada Ogos 2020, dia berjaya menghabiskan pengajian dalam sekolah penerbangan.
“Oleh kerana negara dilanda Covid-19, dia terpaksa menangguhkan niat menjadi juruterbang dan memulakan perniagaan kecil menjual pisang goreng. Usahanya dan kawan-kawan hingga hari ini dia berjaya menjual lebih 70 kilogram pisang dalam tempoh tiga jam sahaja, bahkan perniagaan itu berkembang pesat,” katanya di Dewan Rakyat di sini, hari ini. Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan dapat terus membantu peniaga kecil seperti Ahmad Adib termasuk mendapatkan tapak perniagaan kekal dalam memastikan perniagaan mereka berkembang maju. “Persoalan saya adalah, apabila negara masuk ke era pasca pandemik, bagaimana kerajaan ingin terus bela dan membantu nasib peniaga kecil seperti saudara Adib dan ramai lagi yang lain yang kini mencari tapak baharu kekal selain ada dana jelas dan terjamin. “Mungkin masa akan datang, mereka ingin mengembangkan perniagaan kecil kepada SME (perusahaan kecil dan sederhana) serta kepada perniagaan besar,” ujar beliau. Mengulas lanjut, Syed Saddiq berharap Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dapat memantau mereka yang sebelum ini tidak dapat bekerja dan menubuhkan perniagaan kecil untuk memastikan perniagaan mereka kekal berkembang. “Mereka sebelum ini ada yang juruterbang, pensyarah, jurutera serta tak dapat bekerja dan menubuhkan perniagaan kecil. Apa status mereka dan apa boleh dibuat untuk membantu dan bimbing mereka keluar serta masuk ke situasi pasca pandemik. “Ada tempat dan tapak perniagaan kekal supaya mereka tidak diusir, kita ingin pastikan usahawan muda ini khususnya yang berjaya bertapak musim Covid-19 kekal relevan dan dapat kembangkan perniagaan selepas tamat tempoh pandemik,” katanya. – CARI Sumber: Kosmo
|
ADVERTISEMENT