Jempol: Seorang wanita warga emas kerugian RM2,000 selepas diperdaya supaya kononnya membuang hantu yang ada di badannya. Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, dalam kejadian jam 9.30 pagi semalam, mangsa berusia 69 tahun didatangi tiga individu wanita yang tidak dikenali ketika berada di Pasar Lama Bahau dan seorang suspek kemudian menegur mengenai hantu yang mengikut mangsa.
Katanya, ketiga-tiga suspek mendakwa boleh membersihkan dan membuang hantu di badan mangsa tanpa meminta sebarang bayaran pada awalnya. "Mangsa kemudian bersetuju sebelum seorang suspek meminta mangsa pulang ke rumah mengambil wang dan barang kemas bagi upacara membuang hantu. "Dia diminta menyerahkan wang dan barang kemas di tepi sebuah bank di Bahau bagi upacara membuang hantu dijalankan," katanya Hoo berkata, selepas menyerahkan wang tunai RM1,000, dua utas rantai leher, satu utas rantai tangan dan dua bentuk cincin, mangsa diberi dua botol air mineral kecil dan satu bungkus garam.
Katanya, mangsa kemudian diminta pulang dan tidak dibenarkan memandang ke arah belakang. "Sebaik tiba di rumah, anak mangsa bertanya mengenai air serta garam berkenaan dan mangsa menceritakan kejadian sebelum anak memberitahu mangsa sebenarnya sudah ditipu. "Mangsa kemudian mendakwa dipukau dan ditipu oleh suspek dan mengalami kerugian sebanyak RM2,000," katanya. Hoo berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT