Selera seorang pelanggan yang mahu menikmati hidangan nasi kukus ayam berempah terbantut apabila dia diberikan lauk hangus! Menerusi beberapa gambar yang dimuat naik di laman sosial, hampir keseluruhan ayam berempah tersebut kelihatan berwarna hitam.
Dikenali sebagai Muhamad Fauzi Abdul Karim, katanya insiden itu berlaku sewaktu dia mahu makan malam di sebuah kedai kopi di Klang, Selangor, pada 17 Mac lalu. "Pekerja restoran hantar makanan ke meja, apabila saya buka (bungkusan), ada seketul ayam hangus. Apabila rasa, memang keras. "Ayam hangus tapi sejuk. Mungkin dah setengah jam, ayam tu dimasak. Saya pula susah nak makan kalau keras sebab gigi geraham tak ada," katanya kepada mStar. Fauzi yang berasal dari Klang berkata, dia tidak dapat menghabiskan makanan tersebut dan mengadu mengenai perkara itu kepada pekerja restoran.
"Saya beritahu... mereka hidang makanan yang tak boleh nak makan. Saya hanya makan dua suap saja dan selepas itu berhenti makan. "Pertama kali saya datang ke restoran ini. Memang saya serik untuk datang lagi selepas ini. "Kedai yang terkeliru identii. Nak buat kedai kopi, fokus betul-betul. Kalau nak jual makanan, masak betul-betul," ujarnya sambil menambah nasi kukus ayam itu berharga RM9.90. Dakwanya, nasi kukus tersebut bukan sahaja mengecewakan dari segi struktur masakan ayam bakar yang hangus, malah dihidangkan bersama nasi sejuk. "Ayam hangus sejuk, tak ada rasa. Ayam yang disalut kunyit dan serai, dihidang bersama nasi sejuk dan kuah kari yang mungkin serbuk kari dibancuh dengan air panas. "Dihidangkan dengan tiga ketul nanas sebesar ibu jari yang dah mula berbau macam masam dan sambal belacan yang tak bersambal sebab dah bercampur dalam kari," katanya lagi. Fauzi yang merupakan peniaga kek sejak 2015 menjelaskan dia tidak meminta bayaran balik (refund) walaupun keadaan nasi kukus ayam berempah yang dibeli tidak memuaskan. "Saya orang berniaga, jadi saya tahu walaupun dah makan sikit tetap kena bayar. Saya dah cuit makanan, tekak masih tak boleh terima. "Apabila berniaga dalam dunia makanan dan minuman (F&B), macam mana kita buat (masak) kat rumah, macam itu juga kita jual di kedai. "Perkara sebegini yang perlu diamalkan mana-mana peniaga supaya bisnes mereka tahan lama, kalau tidak akan lingkup," katanya lagi. -CARI Sumber: mStar |
ADVERTISEMENT