Pelakon Luqman Hafidz, 32, kembali berjinak-jinak dalam bidang pembinaan selain berlakon kerana enggan bazirkan kelulusan bidang arkitek yang dimilikinya.
Luqman atau nama sebenarnya Muhd Luqman Hafidz Mohd Fauzi berkata peluang itu terbuka buatnya selepas beberapa rakan mengajaknya untuk terbabit dalam sebuah projek. "Baru-baru ini pun, kawan saya bawa masuk dalam industri pembinaan sebab saya pun kelulusan bidang arkitek bahagian pengukuran kuantiti. Bila mereka ajak itu, saya nampak ia sebagai sebuah peluang.
"Bukan nak lari dari industri (seni), kerana industri ini sudah sangat sebati untuk saya. Saya lihat ia sebuah cabang untuk jaminan masa depan, menambah pendapatan, jadi lebih stabil," katanya. Pelakon filem Ola Bola itu berkata sebenarnya dia ada terbabit projek membabitkan kemahirannya itu sewaktu perintah kawalan pergerakan (PKP). Sejak itu, dia sedar ada masa depan dalam bidang berkenaan. "Lakonan masih periuk nasi utama sebab masih dapat panggilan dan permintaan. Mungkin kalau ada hari-hari yang kurang sibuk, saya beralih kepada kerja pembinaan itu. "Saya tengah susun aturan supaya tidaklah bergaduh nanti dengan kawan-kawan. Syarikat itu milik kawan dan saya lebih kepada bahagian promosi dan kos," katanya yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Arkitek (Pengukuran Kuantiti) dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA).
|
ADVERTISEMENT