Kajian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mendapati lebih 12.3 peratus kanak-kanak dan remaja berusia 10 hingga 17 tahun yang mendiami Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Klang mengalami masalah kesihatan mental dan cenderung untuk membunuh diri.
Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni, berkata kajian dilaksanakan dengan kerjasama Institut Penyelidikan Tingkahlaku Kesihatan dijalankan ke atas 1,578 kanak-kanak dan remaja di 37 PPR di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Katanya, kebanyakan golongan ini mengalami kesihatan mental akibat masalah ekonomi yang dihadapi selepas penularan COVID-19 dan disebabkan ruang tempat tinggal yang kurang selesa.
"Kita turut melihat kepada kemungkinan saiz PPR dengan ruang disediakan sangat terhad dan ditambah lagi jumlah keluarga besar yang tidak dapat menampung mereka yang ada dalam rumah itu. "Akhirnya ia menyebabkan remaja ini keluar daripada rumah untuk melepaskan tekanan, seterusnya mengambil barang terlarang. "Kepadatan penduduk di PPR iaitu sekitar 4,000 hingga 5,000 juga memberi tekanan tinggi sama ada daripada sudut gaya hidup mahupun kurang kasih sayang keluarga yang akhirnya remaja ini mendapatkan 'kasih sayang' di luar rumah," katanya selepas melancarkan Program Bersama Komuniti: Kesedaran Kesihatan Minda dalam kalangan penduduk PPR, di PPR Pinggiran Bukit Jalil, hari ini. Sementara itu, Lukanisman berkata, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun lalu menunjukkan sedikit penurunan kes masalah kesihatan mental dalam kalangan masyarakat di negara ini sehingga mendorong membunuh diri iaitu sekitar 981 kes berbanding 1,142 kes pada tahun sebelumnya. "Bagaimanapun, kes bunuh diri masih tinggi dan memerlukan perhatian serta tindakan segera yang lebih sistematik bagi mengutamakan kesejahteraan mental masyarakat," katanya.
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|