Bimbang ditangkap polis, seorang lelaki sanggup meninggalkan kereta dipandunya selepas dikepung polis dalam Op Samseng Jalanan di persimpangan lampu isyarat Kedundung, Pokok Sena dekat sini, awal pagi tadi.
Bagaimanapun tiga lagi lelaki yang berusia 22 hingga 33 tahun berjaya ditahan dalam operasi jam 1.30 pagi itu. Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, suspek ditahan selepas dipercayai terbabit dalam aktiviti lumba haram membabitkan beberapa kereta dan mengundang bahaya di jalan raya.
"Operasi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar itu berjaya mengepung dan menahan mereka. "Mereka ditahan tidak jauh dari lokasi berkenaan dan persimpangan lampu isyarat itu dipercayai menjadi tempat permulaan perlumbaan," katanya ketika dihubungi hari ini. Ahmad Shukri berkata, kesemua kenderaan dirampas dan tiga pemandu itu ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. "Selain itu, beberapa pemilik kenderaan lain yang turut menyaksikan aktiviti lumba haram itu turut diperiksa selain saman dikeluarkan atas beberapa kesalahan trafik. "Antara kesalahan yang dikesan adalah mengubah suai kenderaan," katanya. Sumber: Harian Metro |
ADVERTISEMENT