Disebabkan menuntut di sekolah jenis kebangsaan Cina, Layla Sania mengakui dia mempunyai masalah untuk bertutur dengan baik dalam bahasa Melayu. Dia berasa gementar kerana bimbang tidak dapat bertutur dengan baik ketika menjalani penggambaran sebuah drama Melayu.
Layla mengambil inisiatif mempelajari tentang pengolahan skrip dan penjiwaan watak dengan pelakon senior. "Saya sekarang sedang berlakon drama Melayu pertama... sebelum ini saya banyak membintangi drama berbahasa Cina sahaja. "Saya sebenarnya takut nak berlakon drama Melayu. Bukan apa, selama ni saya bersekolah Cina jadi bahasa Melayu saya tak berapa sangat. "Bila hafal skrip bahasa Melayu, banyak perkataan yang saya tidak tahu tapi nasib baik rakan-rakan artis banyak membantu," katanya kepada mStar.
Dalam pada itu, Layla memberitahu dia pernah menghadiri kelas semata-mata untuk bertutur bahasa Melayu dengan lebih baik. Penyanyi lagu Bambino itu kini lebih yakin untuk bercakap menggunakan bahasa Melayu kerana telah mendapatkan latihan secukupnya.
"Sejak awal menceburi bidang seni, saya mula-mula masuk dalam industri Melayu dulu barulah ke industri hiburan bahasa Cina. "Saya rasa saya perlu belajar bahasa Melayu kalau tak, sayanglah kan? Bukan saya tak pandai bahasa Melayu, cuma saya tak tahu nak bercakap formal dan buat ayat yang sempurna. "Sekarang ni penguasaan bahasa saya lebih baik kerana saya ada menghadiri kelas. Di situ saya banyak belajar bagaimana untuk menjawab temu bual dengan baik dalam bahasa Melayu dan Inggeris," ujarnya.
Untuk rekod, Layla pernah diangkat sebagai Pelakon Wanita Harapan di Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32) pada Disember tahun lalu menerusi filem Small Town Heroes. Lagu nyanyiannya, You’re The Only One in My Heart dendangan asal penyanyi Taiwan, Tiger Huang memperkenalkan nama Layla dalam industri muzik tanah air.
Penyanyi ini turut mempunyai dua single berbahasa Mandarin iaitu Traveler dan By Your Side. -CARI Sumber: mStar Online
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|