Tidak semua kerajaan negeri mampu menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia di stadium masing-masing dek kos penyelenggaraan mahal mencecah sekitar RM240,000. Menteri Belia Dan Sukan, Hannah Yeoh yang berkongsi mengenai hal itu sudah mengarahkan kementeriannya mencari dan menyediakan opsyen jenis rumput yang lain bagi ditawarkan kepada setiap kerajaan negeri.
Hannah mengadakan lawatan ke Sabah baru-baru ini dimaklumkan pihak pengurusan stadium bahawa mereka lebih selesa menggunakan rumput sedia ada jenis Cow Grass yang lebih murah. “Itu sebab saya minta Ketua Setiausaha dan pihak kementerian untuk sediakan beberapa pilihan rumput lain yang mempunyai standard antarabangsa supaya kita tahu perbezaan harga,” katanya. Sebelum ini, Kementerian Belia dan Sukan di bawah kepimpinan Hannah menawarkan kepada semua kerajaan negeri untuk menampung kos penukaran rumput daripada jenis Cow Grass kepada Zeon Zoysia.
Dan sehingga kini, pihaknya sedang menunggu maklum balas setiap negeri untuk menerima tawaran itu, di mana ia akan dapat membantu meningkatkan kualiti padang sekaligus mutu permainan setiap pasukan turut meningkat. Bagaimanapun, beberapa kerajaan negeri belum bersedia untuk menukar rumput stadium masing-masing ekoran kos penyelenggaraan yang tinggi. Dalam pada itu, Hannah berkata, geran penukaran rumput itu akan disediakan selepas mendapat maklum balas setiap negeri. “Dana belum ada lagi. Sebab itu kita perlu tunggu mesyuarat kedua dahulu supaya kita dapat maklum balas mereka mahu atau tidak. Jika mereka mahu, baru kita akan cari dana,” katanya Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT