Murid dan pelajar kurang berkemampuan yang tidak dapat menyediakan pakaian seragam sekolah diberi kelonggaran untuk hadir ke sekolah pada sesi persekolahan baharu. Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kelonggaran itu diberikan sebagai langkah memudahkan ibu bapa terutama mereka terkesan akibat banjir.
"Dalam konteks di Johor misalnya, kita (KPM) beri ruang kepada mereka ini supaya datang ke sekolah walaupun tanpa memakai pakaian seragam. "Yang penting asalkan berbaju, sebab kita tak nak beban hanya soal baju (seragam) itu, mereka dinafikan daripada pendidikan," katanya selepas merasmikan Seminar Membangunkan Malaysia Madani Sektor Pendidikan di Institut Aminuddin Baki, Bandar Estek di sini, hari ini. Mengulas mengenai rungutan pakaian kokurikulum atau badan beruniform, pihaknya juga bersetuju murid memakai kemeja T yang menggambarkan sekolah masing-masing jika ibu bapa tidak mampu untuk menyediakan seragam sekolah.
"Atau pakaian baju sukan yang sesuai untuk hadir ke sekolah dan mengikuti semua program sekolah, jadi timbul soal kita berkeras dalam soal uniform, tapi kita bagi ruang "Kita bersikap bertolak ansur dalam perkara ini sesuai dengan keadaan kerana sedar dengan kos penyediaan yang tinggi selain masalah banjir yang sebahagian tempat belum pulih sepenuhnya," katanya. Mengulas mengenai penempatan guru pada sesi persekolahan akan datang, Fadhlina berkata, KPM sedang memberikan tumpuan terhadap perkara berkenaan dan akan diumumkan dalam tempoh terdekat sebaik mendapat keputusan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan. "Penempatan guru akan diumumkan secepat mungkin. Harus difahami bahawa pengambilan guru dibuat secara berfasa dan tiada tempoh tertentu di mana setiap kekosongan akan diisi," katanya. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT