Seorang pempengaruh TikTok yang tamak dikecam mengajar pengikutnya helah yang tidak baik untuk mendapatkan peluang duduk bersendirian di dalam pesawat. Lelaki yang gemar berkongsi helah di akaun @ndainternet di TikTok itu memuat naik video menunjukkan dia menempah keseluruhan barisan tiga tempat duduk pesawat.
Namun, dia kemudian membatalkan dua daripadanya 45 minit sebelum penerbangan supaya dapat duduk bersendirian. Pemandu yang menggelar dirinya sebagai ‘orang miskin kelas pertama’ itu berkata, dia berjaya mendapatkan kembali semua wang bagi dua tempat duduk yang kosong itu. Ini bermakna dia membayar hanya untuk satu tiket, namun berjaya mendapatkan satu barisan tempat duduk untuk dirinya sendiri malah memberitahu pengikutnya, helah itu sangat berkesan. “90 peratus syarikat penerbangan tidak sempat mengisi tempat duduk bermakna saya mendapat keseluruhan barisan ini untuk diri saya sendiri.
“Cuma pastikan dua tiket tambahan boleh dikembalikan sepenuhnya,” kata lelaki itu dalam videonya. Video itu menjadi tular dan tidak lama kemudian mendapat lebih 90,000 tontonan di samping pelbagai komen negatif. Ramai yang menyifatkannya mementingkan diri sendiri dan mengecam lelaki itu yang jelas tidak mengambil berat tentang orang lain atau persekitaran. “Itu satu tindakan yang menjijikkan. Sangat mementingkan diri sendiri. Seseorang mungkin memerlukan tiket itu dan ini perbuatan jahat yang merugikan syarikat penerbangan,” kata salah seorang penguna TikTok. Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT