Walaupun kesal, Amar Baharin, 38, dan Amyra Rosli, 32, enggan memanjangkan isu syarikat kontraktor yang gagal mengubah suai rumah ibu bapa Amyra seperti dijanjikan. Amar berkata, mereka sudah melaburkan wang sebanyak RM240,000 kepada kontraktor terdahulu dan kini mengupah kontraktor baharu untuk menyambung kerja-kerja ubahsuai yang terbengkalai.
"Sekarang sudah dapat satu kontraktor baharu yang akan menyambung kerja atau membaik pulih apa yang sedia rosak hasil buatan mereka. Mungkin tak sempat siap pada Aidilfitri ini. "Saya cakap yang baki bayaran terakhir jangan bayar. Kami tarik diri kerana saya tak boleh dan tak sanggup tengok hasilnya. "Anggaplah yang sudah dilabur itu bukan rezeki. Kami tiada terfikir nak ambil tindakan atau apa," katanya.
Amar berkata, mereka dapati kontraktor terdahulu itu memang tidak boleh diharap selepas melihat hasil kerjanya yang benar-benar tidak memuaskan. "Bukan mereka tak boleh buat kerja tapi hasil kerja tak setimpal, sambil lewa dan kualiti barangan teruk. Bila rumah itu siap, terdapat tompok air pada dinding, memang bukan kualiti baguslah," katanya.
Menurutnya, segala urusan berhubung kes itu diserahkan 100 peratus kepada Amyra. Tapi dia tetap mahu sokong dari belakang dan nasihatkan apa yang perlu. "Untuk hentikan projek itu pun, saya yang nasihatkan dia. Ini kerana makin lama makin banyak kena tipu daripada hasil-hasil kerja yang teruk itu. "Saya turut nasihatkan dia supaya jangan buat apa-apa kenyataan yang boleh makan diri pasal perkara itu ada hitam putih. Jadi, dia menuruti nasihat itu," katanya.
Pada bulan lalu, Amyra meluahkan kekesalan terhadap sebuah syarikat kontraktor rekaan dalaman yang diupah mencantikkan rumah ibu bapanya. Dia merasa ditipu kerana hasil akhirnya tidak setimpal dengan bayaran RM240,000 selain menunggu hampir setahun untuk disiapkan. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|