Aziz Harun sanggup meninggalkan keluarga di Brunei dan nekad berpindah ke Kuala Lumpur demi meneruskan kerjaya seni dan mencari peluang lebih cerah dalam bidang muzik di Malaysia. Kata Aziz, 25, meskipun dia sudah mula membina nama di negara ini menerusi lagu Senyum sekitar tahun 2020, namun sekarang dia tidak lagi perlu berulang-alik seperti yang dilakukan sebelum ini.
"Kalau dahulu selain muzik ada perkara lain yang perlu saya fokuskan termasuk menamatkan pelajaran di universiti. Sekarang sudah tidak ada alasan lagi dan sebab itu saya nekad untuk berpindah ke KL. "Saya meletakkan diri saya sepenuhnya ke arah muzik dan sebab itu saya mengambil keputusan untuk berpindah. Keluarga pun tidak pernah melarang kerana mereka tahu ini adalah minat saya selain kurang mendapat tawaran persembahan di sana. "Saya juga sudah ada peminat di KL. Jadi memang ada tapak di sini dengan kenalan ramai orang-orang hebat dalam muzik. Rugi kalau saya lepaskan peluang yang ada dan memulakan di tempat lain," katanya kepada mStar.
Mengakui bukan mudah untuk membuat keputusan itu, Aziz mengakui berat hati kerana dia tidak dapat meluangkan lebih banyak masa bersama kedua ibu bapanya. Bagaimanapun, dia bersyukur kerana keluarga memberi sokongan penuh dan tidak pernah menghalang untuk dia memilih kerjaya dalam bidang seni. Lebih-lebih lagi selepas dia berjaya menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Perniagaan dari University of East Anglia, United Kingdom (UK) pada Oktober 2021.
"Keluarga tahu saya minat muzik dan mereka tidak pernah halang untuk pilih kerjaya dalam bidang ini. Tempoh belajar sebelum ini pun telah membuka mata saya untuk lebih yakin serius terlibat dengan muzik. "Saya baru sahaja betul-betul menetap di KL awal Mac. Sebelum berpindah ke sini terdetik juga rasa berat hati memandangkan usia kedua ibu bapa semakin meningkat. Saya takut tidak dapat meluangkan lebih banyak masa bersama mereka. "Bagaimanapun mereka akan selalu datang ke KL. Sebelum ini pun jika saya ada kerja di KL dan menetap untuk tempoh masa lama mereka akan datang ziarah," ceritanya.
Sementara itu bercakap tentang lagu baharu yang merupakan nyanyian duet bersama Aisha Retno, Aziz memberitahu dia tidak berfikir panjang untuk memberi kata setuju selepas rakannya itu menghantarkan demo. Biarpun perkenalan mereka hanya melalui sosial media, Aziz dan Aisha mudah mencipta keserasian dan hasil terbukti menerusi lagu Jarak. "Kami mula rapat dalam tahun 2019 dan hanya berhubung menerusi media sosial. Ketika Aisha menyertai program Big Stage 2022, dia ada menghantar demo lagu tersebut dan saya terus suka selepas mendengarnya. "Kami pertama kali bertemu ketika konsert akhir Big Stage 2022 tahun lalu. Walaupun tinggal berjauhan, kami tetap berusaha untuk siapkan lagu ini,” jelasnya.
Lebih istimewa lagi, lagu ciptaan bersama Aisha, Romeo dan Glowrush ini juga akan dimuatkan dalam album terbaharu Aziz berjudul Yang Benar. -CARI Sumber: mStar Online
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|