Washington: Wanita Amerika Syarikat ini bingung apabila dia boleh bertutur dalam loghat Ukraine, Rusia dan Australia, walaupun tiada kaitan dengan negara itu atau tidak pernah ke sana. Kejadian aneh itu dialami Abby Fender seminggu selepas menjalani pembedahan membetulkan herniated disc.
Selepas itu, bekas penyanyi terbabit mendapati tidak lagi bercakap Bahasa Inggeris dalam loghat Texas. Katanya, dia mula bercakap dalam loghat Rusia yang pekat tanpa sebarang kaitan dengan negara itu atau tidak pernah ke sana. Abby, 39, akhirnya disahkan menghidap sindrom loghat asing (FAS), keadaan yang sangat jarang berlaku dan hanya dialami kira-kira 100 orang di seluruh dunia. "Saya takut tidak dapat bercakap secara normal lagi. "Apabila tersedar daripada pembedahan, serta-merta tahu ada sesuatu yang tidak kena dengan suara kerana saya tidak boleh bercakap lantang.
"Saya kemudian mula merasakan nada suara saya sangat tinggi dan kami memanggilnya suara Minnie Mouse Rusia di mana saya berbunyi seperti watak kartun sepanjang masa," katanya kepada NeedToKnow.online. Abby berkata, dia terpaksa berbohong mengenai asal usulnya bagi mengelakkan sebarang pertanyaan kerana loghatnya turut bertukar kepada aksen Ukraine dan Australia. "Setiap kali saya melakukan ini, saya rasa seperti saya menafikan siapa diri saya yang sebenarnya dan itu bukan perasaan baik, tetapi saya penat ditanya 'awak dari mana' sekurang-kurangnya 10 kali sehari. "Saya pernah terlepas cakap saya orang Ukraine dan orang itu mula bercakap dengan saya dalam bahasa ibunda mereka," katanya. Katanya, perubahan itu juga menyebabkannya seperti dipulaukan di negara sendiri. "Suatu ketika, seorang pegawai polis bercakap kepada saya, 'anda tahu, kami tidak memandu seperti itu di sini'. "Saya dilayan seolah-olah saya bukan orang Amerika... seperti saya orang luar," katanya. Abby berkata, dia mendapatkan pakar perubatan dan menjalani terapi sejak Januari 2021. "Sejak dapat bantuan itu, saya semakin teruja dan nampak perubahan apabila nada nyanyian saya yang cemerlang sudah kembali. "Saya berjumpa dengan ahli patologi pertuturan yang hebat untuk membantu saya merendahkan nada dan merehatkan otot leher saya. "Rasa macam tak percaya. Ini satu keajaiban apabila dapat mendengar suara saya semula," katanya. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT