Tular rakaman menunjukkan seorang lelaki sanggup bergadai nyawa meredah arus deras banjir dengan berpaut pada tali demi memastikan bantuan makanan sampai ke pusat pemindahan sementara (PPS) di sebuah sekolah di Johor.
Detik dikongsi pengguna di TikTok dengan akaun Zurainiswarno itu menunjukkan lelaki dikenali dengan nama Abang Salleh sanggup bertahan di arus deras bagi menyampaikan bantuan berkenaan. Turut kelihatan dalam video sama beberapa mangsa banjir yang membantu lelaki itu dengan memegang kuat tali pada kedua-dua hujung sebelum sampai ke pagar sebuah sekolah yang dijadikan sebagai PPS. Difahamkan, lokasi terbabit berlaku di kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chaah di Segamat yang dijadikan sebagainya PPS.
Sementara itu, rata-rata warga maya menerusi ruangan komen dalam video berkenaan menyampaikan simpati dan doa mereka kepada mangsa supaya tabah berhadapan musibah banjir di Johor. Terdahulu 236 PPS dilapor dibuka di enam negeri bagi menempatkan lebih 25,000 penduduk yang terjejas akibat banjir sejak kelmarin. Jumlah itu direkodkan setakat jam 10 pagi membabitkan mangsa daripada 7,710 keluarga di Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Sabah dan Sarawak. Menurut laman portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), negeri yang menunjukkan peningkatan mangsa banjir adalah Johor, Pahang dan Negeri Sembilan. Sumber: BH Online
|
ADVERTISEMENT