Washington: Malangnya nasib seorang lelaki di Amerika Syarikat (AS) yang terpaksa meringkuk lebih 38 tahun dalam penjara kerana disabitkan bersalah atas tuduhan membunuh pada 1983, walaupun tidak melakukannya.
Maurice Hastings akhirnya dibebaskan dari penjara tahun lalu selepas bukti asid deoksiribonukleik (DNA) yang sudah lama belum teruji menunjukkan suspek berbeza. Hakim di Los Angeles, William C Ryan memutuskan Hastings tidak bersalah atas pertuduhan itu pada prosiding Rabu lalu selepas menerima permohonan daripada pendakwa raya dan peguamnya dari Los Angeles Innocence Project. Keputusan itu membuktikan secara muktamad bahawa Hastings tidak melakukan jenayah itu. "Sangat bermakna. Saya berterima kasih atas keputusan hakim, dan permohonan maaf semuanya indah hari ini. "Saya sudah bersedia untuk meneruskan hidup saya. Saya seorang lelaki yang gembira hari ini," kata Hastings selepas perbicaraan, menurut Los Angeles Innocence Project.
Peguam Daerah George Gascon berkata, Hastings akhirnya selamat daripada mimpi ngeri. "Dia menghabiskan hampir empat dekad dalam penjara untuk membuktikan dia tidak bersalah sambil dinafikan berulang kali. "Bagaimanapun, Hastings tetap teguh dan setia bahawa suatu hari nanti dia akan mendengar hakim menyatakan dia tidak bersalah," kata Gascon dalam satu kenyataan. Gascon berkata, keputusan itu akan membersihkan nama Hastings dan membuka jalan baginya untuk mendapatkan kemungkinan pelepasan berkaitan dengan sabitan salahnya. Menurut rekod, mangsa dalam kes itu, Roberta Wydermyer diserang secara seksual dan dibunuh dengan satu tembakan di kepala, kata pihak berkuasa. Mayatnya ditemukan di dalam bagasi kenderaannya di bandar Inglewood dekat Los Angeles. Hastings didakwa dengan pembunuhan keadaan khas, dan pejabat peguam daerah memohon hukuman mati tetapi juri menemui jalan buntu. Juri kedua mensabitkan Hastings bersalah dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada tahun 1988 tanpa kemungkinan parol. Hastings bagaimanapun tidak mengaku bersalah sejak ditangkap. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT