Seorang suami yang enggan menjual rumah bagi membiayai kos rawatan demi menyelamatkan anak lelaki yang terlantar di hospital akhirnya diceraikan oleh isterinya. Wanita dari China yang tidak didedahkan identiti itu telah cuba mengumpul hampir $144,000 (RM644,000) untuk membayar kos pembedahan anaknya yang menghidap anemia aplastik, iaitu penyakit berkaitan darah yang jarang berlaku.
SCMP melaporkan, disebabkan wang yang diperlukan masih tidak mencukupi, wanita itu ingin menjual rumah yang dimiliki bersama suaminya, tetapi cadangannya ditolak oleh lelaki berkenaan, lapor Star Video. Wanita itu berkata, anak mereka, Xiaolin, 22, disahkan menghidap penyakit berkenaan pada 2017, dan kesihatannya merosot sejak Mei tahun lalu. Perbelanjaan perubatan Xiaolin adalah $1,100 (RM4,919) sebulan, dan wanita itu sendiri terpaksa melakukan dua pekerjaan untuk mengumpul wang.
Bagaimanapun, dia terpaksa berhenti kerja untuk menjaga anaknya secara sepenuh masa kerana keadaan pemuda itu kritikal. "Dia akan mati dalam setengah tahun lagi, jadi tidak perlu mendapatkan rawatan," kata suami wanita berkenaan, sekaligus membuatkannya terkejut. Malah suami wanita itu berkata dia mungkin bersetuju untuk menjual rumah mereka, tetapi ingin menuntut lebih separuh wang hasil daripada penjualan hartanah itu. "Jika kamu mahu jual rumah, saya layak mendapat lebih separuh daripada wang itu (untuk diri saya sendiri)," katanya sebagaimana yang dilaporkan. Malah wanita itu mendakwa suaminya langsung enggan membantunya membiayai kos rawatan seandainya permintaan tersebut tidak dipenuhi. Kisah pasangan berkenaan menjadi tular di media sosial di negara berkenaan. Rata-rata warga maya menyifatkan lelaki tersebut sebagai tidak bertanggungjawab dan hanya mementingkan diri sendiri. - CARI Sumber: mStar/Thestar/SCMP
|
ADVERTISEMENT