Seorang ibu muda di bandar Manama, Bahrain hilang hak penjagaan anak dek terlalu sibuk. Mahkamah membuat keputusan itu ekoran mendapat wanita berkenaan tiada masa menjaga dan menguruskan keperluan emosi dan fizikal anak perempuannya sendiri.
Malah, kanak-kanak itu juga juga menolak untuk kembali tinggal bersama ibu kandungnya sepanjang perbicaraan dan menunjukkan keinginan tinggal bersama neneknya, lapor News of Bahrain. Mahkamah Syariah Bahrain turut mengambil kira penyelidikan sosiologi dan mengesahkan wanita berkenaan sering bekerja di luar dan meletakkan penjagaan anak kepada pekerja sepanjang tiada di rumah. Malah, hasil kajian mendapati anak perempuannya berdepan tekanan emosi sejak kecil berikutan kekurangan kasih sayang daripada ibu kandung. Difahamkan, keputusan berkenaan dibuat selepas difailkan oleh nenek kanak-kanak tersebut.
Peguam Fatima Mejairan, yang mewakili nenek mendakwa menantunya culas dengan tanggungjawab sebagai ibu selepas bercerai dengan anaknya dan berkahwin baharu. Malah, dia sering meninggalkan cucunya bersendirian bersama pembantu rumah dan pemandu peribadi berikutan sering bekerja di luar negara. Terdahulu, mahkamah menjelaskan 'Penjagaan' ditakrifkan dalam Perkara 123 Kod Keluarga sebagai 'keupayaan untuk membesarkan dan menjaga anak tanpa prejudis'. Undang-undang juga menetapkan penjaga adalah seorang dewasa Islam yang rasional dan boleh dipercayai. Sekiranya keperluan tersebut tidak dipenuhi, hak penjagaan akan hilang. Dalam pada itu, mahkamah berjaya membuktikan berlaku peningkatan dalam bidang akademik sepanjang berada dalam jagaan keluarga bapanya. Dalam hujahan Fatima menegaskan, pada usia tersebut, kanak-kanak itu memerlukan penjagaan, kasih sayang, dan sokongan keluarga. Mahkamah kemudian membenarkan rayuan nenek untuk menjaga dan mendapat hak penjagaan kekal terhadap cucunya. Sumber: KitaReporters |
ADVERTISEMENT