Kuala Lumpur: "Kami tinggal di Chow Kit yang semua tahu kisah di sebalik kawasan ini dan keadaan itu membuatkan saya bertambah bimbang jika anak tidak menunjukkan minat belajar sebaliknya bergaul dengan mereka yang tidak 'sihat'."
Itu luahan seorang ibu dua anak yang mengakui kedua-dua anak lelakinya berusia 10 dan 12 tahun keciciran dalam pelajaran hingga masih belum boleh membaca dengan baik. Wanita berkenaan yang mahu dikenali sebagai Rubi, 46, berkata, dia dan suami mahu dua anak mereka menjadi insan berjaya dan cemerlang dalam pelajaran, namun mengakui impian itu masih 'malap'. "Saya boleh membaca dan pernah mengajar anak tetapi mereka kurang berminat. Saya bimbang melihat mereka masih tidak boleh membaca dan tiada minat untuk belajar. "Anak juga lebih suka bermain permainan video di telefon dan mungkin kerana bilik kami kecil menyebabkan dia rasa kurang selesa belajar di situ. Tetapi apa boleh kami buat kerana tak mampu menyewa rumah yang selesa," katanya.
Rubi berkata, dia membayar sewa bilik sebanyak RM550 sebulan dan menggunakan bantuan daripada Baitulmal untuk kelangsungan hidup mereka selepas suami tidak mampu bekerja kerana mempunyai masalah jantung. Menurutnya, dia menyedari ilmu pelajaran dapat membawa keluarganya keluar daripada dunia kemiskinan dan berharap dua anaknya dapat belajar bersungguh-sungguh untuk membela nasib keluarga. "Saiz bilik kami memang tidak sesuai untuk empat beranak, tetapi saya memang tidak beri anak-anak keluar bilik sendirian kecuali bersama kami. "Saya mahu keluar dan tinggal di rumah lebih selesa, tetapi belum ada rezeki kami. "Malah, saya akan suruh anak untuk mengikuti kelas yang dianjurkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) setiap Khamis dan apabila ada NGO lain yang mahu buat kelas tuisyen lebih kerap, ia memang menggembirakan saya," katanya. Di samping itu, Rubi berkata, dia yatim piatu sejak kecil dan membesar di rumah kebajikan, malah suaminya juga senasib menyebabkannya mahu dua anaknya mengubah nasib mereka sekeluarga. "Saya juga seperti ibu lain yang mahu anak belajar dengan cemerlang dan takut jika mereka terjebak dengan aktiviti tidak bermoral, sebab itu pendidikan sangat penting," katanya yang menghantar anaknya bersekolah di kawasan berhampiran. Keluar demi 'angin malam' Kuala Lumpur: Meskipun hampir mencapai usia remaja, anak-anak yang tinggal dalam keadaan serba kekurangan di Chow Kit, di sini, didapati tidak boleh membaca dengan lancar dan baik. Waktu malam yang biasanya dimanfaatkan untuk mengulang kaji pelajaran di rumah atau bilik sebaliknya digunakan mereka untuk mengambil 'angin malam' dengan ada yang mendakwa kurang selesa berada di bilik sewa yang kecil untuk belajar. Namun, mereka yang ditemui mengakui semangat untuk belajar dan mengubah nasib keluarga tetap ada dalam diri masing-masing. Murid tahun enam dikenali sebagai Daus, 12, berkata, dia tinggal bersama ibu bapa dan adik di bilik sewa yang sempit di Lorong Haji Taib 2, Chow Kit. Menurutnya, situasi itu membuatkannya lebih suka berjalan di kawasan sekitar pada waktu malam, namun mengakui aktiviti terbabit tidak dilakukan setiap hari dan akan keluar bersama ibu bapanya. Katanya, dia belajar membaca dengan sokongan ibu bapa, namun mengakui keadaan bilik yang sempit dan panas menyebabkannya kurang selesa untuk mengulang kaji pelajaran. "Saya sudah mengenal huruf, cuma masih belum boleh membaca dengan baik. Sebelum ini memang malu juga kerana tidak tahu membaca hingga saya pernah tak pergi sekolah dan dapat surat amaran. "Sejak sertai kelas (anjuran aktivis) saya mula mengenal huruf, malah tak sabar mengikut kelas tuisyen lain juga sebab saya mahu belajar serta bawa keluarga keluar dari sini," katanya yang bercita-cita menjadi tentera. Sementara itu, Haris, 11, berkata, dia boleh membaca, namun 'merangkak' dengan ada suku kata yang panjang masih belum dikuasai. Selami kehidupan anak Chow Kit Kuala Lumpur: "Ayah, ayah," itu antara teriakan gembira beberapa kanak-kanak berusia tiga hingga lima tahun apabila melihat kelibat aktivis sosial Azhan Adnan, 54, atau lebih dikenali sebagai Abe Hae di sekitar Chow Kit, di sini. Ada antara mereka dilihat berlari memeluk kaki Azhan dan bermanja dengan lelaki itu biarpun suaranya didengari agak 'garang', namun kemesraan mereka seperti keluarga dan kanak-kanak itu dilayan seperti anaknya sendiri. Pemerhatian mendapati kanak-kanak itu termasuk ada sebahagiannya bersama ibu bapa yang juga golongan asnaf mula menunggu di belakang sebuah bank untuk mendapatkan makanan percuma diagihkan aktivis kira-kira jam 8 malam. Beberapa kanak-kanak pula bermain di sekitar kaki lima premis dan 'merayau' bersama rakan, malah ada juga duduk melukis dan mewarna di jalanan. Mendekati beberapa kanak-kanak, mereka tidak malu memberitahu masih belum pandai membaca dan ada yang tidak mengenal huruf sepenuhnya. Apabila ditanya mengapa tidak berada di rumah pada waktu malam dan mengulang kaji pelajaran, mereka memberitahu mahu mengambil makanan dan 'angin malam' kerana keadaan bilik sewa mereka agak panas. Beberapa wanita juga memberitahu keadaan bilik sewa yang kecil dan panas membuatkan mereka memilih berada di luar pada waktu malam sementara menunggu agihan makanan percuma. Mendengar alasan itu, wartawan dengan bantuan Azhan cuba melihat kehidupan warga Chow Kit dengan 'meninjau' bilik sewa mereka di Lorong Haji Taib 2, Chow Kit, baru-baru ini, namun tersentak melihat 'mahligai' mereka yang sempit, daif dan panas. Menaiki anak tangga ke bilik mereka agak 'ngeri' kerana suasana gelap dan setiap pintu masuk dikunci kerana penduduk mendakwa bimbang dengan kehadiran individu tidak dikenali. Sebaik menjejakkan kaki ke dalam sebuah bilik sewa yang dihuni lima beranak membuatkan wartawan terkejut kerana bilik seluas 3.04 x 3.04 meter persegi itu sangat kecil. Azhan berkata, melihat kanak-kanak merayau hampir setiap malam di sekitar Chow Kit membuka hatinya untuk menyelami kehidupan sebenar mereka. Katanya, pihaknya sudah mengenal pasti 30 bilik untuk dibersihkan yang mana bulan ini akan bermula dengan lapan bilik secara berperingkat supaya ia lebih sesuai untuk dihuni. "Semua kanak-kanak ini menunjukkan minat untuk belajar dan saya memberikan mereka buku latihan dan alat tulis sebagai langkah awal untuk menarik minat dengan pelajaran sebab kami tidak mahu masa depan anak Chow Kit terus gelap," katanya. Azhan berkata, semua inisiatif dilakukannya adalah sumbangan orang ramai melalui NGO yang diasaskannya, Pertubuhan Jejak Jalanan. Impi anak berjaya walaupun hidup di Chow Kit Kuala Lumpur: Setiap wanita bergelar ibu semestinya mahu melihat semua anaknya berjaya dan memiliki kehidupan lebih baik. Begitu juga impian seorang wanita dikenali sebagai Rahmah, 30, apabila mahu ketiga-tiga anaknya berusia tiga hingga tujuh tahun mempunyai masa depan yang baik walaupun mereka tinggal di Chow Kit, di sini. Mengakui Chow Kit dikenali sebagai kawasan yang memiliki pelbagai 'kisah' kehidupan penuh warna, Rahmah bagaimanapun berkata, tidak semua penghuni kawasan itu terpalit cerita sama. Katanya, dia bersama suami dikenali sebagai Ahmad, 43, menyewa bilik seluas 3.04 x 3.04 meter persegi pada harga kira-kira RM600 sebulan kerana desakan hidup dan mahu berdikari tanpa menyusahkan keluarga. Bagaimanapun, katanya, masalah paling membimbangkan mereka adalah isu pendidikan tiga anak terutama anak lelaki sulung yang akan memasuki alam persekolahan tahun ini. "Anak sudah berusia tujuh tahun, tetapi dia masih belum mengenali huruf cuma tahu nombor saja. Itu yang membuatkan saya bimbang. "Saya ada mengajarnya dan dia juga ada tunjuk minat untuk belajar, tetapi tak sampai lima minit anak tutup buku kerana berada dalam bilik sewa yang kecil dan panas ini memang tidak selesa," katanya. Disebabkan itu, Rahmah berkata, dia dan suami lebih memilih berada di luar pada waktu malam dan turut membawa anak bersama, namun mengakui sentiasa mengawasi pergerakan mereka. Katanya, ada aktivis membuat kelas tuisyen dan mengaji di kawasan mereka tinggal, namun dia juga gembira jika ada kelas tuisyen untuk semua subjek sebagai nilai tambah kerana sukar untuk belajar sendirian di bilik. "Harapan saya pada tiga anak untuk terus belajar, malah sangat takut jika mereka terjebak dengan aktiviti tidak sihat termasuk keselamatan," katanya ketika ditemui Harian Metro. -CARI Sumber: Harian Metro
|
orangbiasaje replied at 1-3-2023 05:33 PM
Sepatutnya anak2 ni yg diberi peluang ke asrama dan tanggungan yayasan. supaya diorg boleh fokus bai ...
ADVERTISEMENT