Pelakon dan penyanyi Alif Satar tampil menjelaskan sebab bersetuju untuk berlakon dalam filem ‘Pulau’. Ia berikutan nama Muhammad Alif Mohd Satar, 33, turut terjejas selepas treler filem berkenaan mencetus kontroversi gara-gara memaparkan babak panas dan pelakon berpenampilan seksi.
Menurut Alif atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd Satar, 33, dia tertarik dengan skrip filem ini selain ia turut menggandingkannya dengan pelakon-pelakon yang beliau segani seperti Namron dan Wan Hanafi Su. “Saya telah ditawarkan dengan satu skrip dan skrip filem ini tidak menyatakan bahawa ini adalah skrip filem lucah. Filem ini adalah filem seram tentang makhluk mistik. “Saya juga telah tanya terlebih dahulu tentang karakter saya dalam filem ini serta dengan siapa yang akan digandingkan,” katanya ketika ditemui di tayangan perdana filem ‘Pulau’.
Kongsi Alif lagi, dia juga ada memberitahu pengarah filem ini iaitu Euho tentang apa yang boleh dilakukannya dan apa yang tidak boleh untuk menghormati sensitiviti masyarakat Islam di Malaysia. “Waktu babak nak terjun dalam laut, sayalah yang paling ‘overdressed’ sekali. Itu bukan bermaksud saya nak tunjuk yang saya baik, tetapi memang itulah diri saya,” ujar pelakon, penyanyi dan pengacara popular ini. Tambahnya, dia tiada kuasa untuk mengawal apa yang perlu dipakai oleh pelakon lain kerana itu adalah tanggungjawab pengarah. “Kalau pelakon lain, saya rasa itu adalah tanggungjawab pengarah dan mereka sendiri. Saya punya pendirian saya sendiri. Jika mereka mahu saya buat juga benda yang saya tak suka, saya tak akan buat,” tegasnya. Selepas treler filem ini ditayangkan dan mencetus kontroversi, ramai netizen yang mempersoalkan tindakan Alif yang dilihat mempunyai persona sebagai seorang lelaki baik tetapi sanggup terlibat dengan filem seperti ini. Tentang pertikaian netizen yang mempersoalkan tindakannya yang sanggup membintangi filem berkenaan, sedangkan dia dilihat mempunyai persona sebagai seorang lelaki baik, Alif sekali lagi menekankan jawapan sama. “Seperti yang saya katakan, saya terima filem ini kerana ia filem seram. Jika siapa yang mengenali saya, mereka akan tahu saya bagaimana. “Bila orang melabelkan saya sebagai lelaki yang baik dan sebagainya, saya rasa mereka sebenarnya ambil berat tentang saya. “Kadang-kadang saya segan bila orang selalu puji saya melambung. Saya jadi takut. Sebab itu, kadang-kadang bila ada orang komen yang negatif saya boleh terima. Saya rasa ‘balance’. Itu maknanya saya juga manusia biasa yang lakukan kesilapan. “Saya bukanlah orang yang alim. Bila orang kata, saya suami mithali, saya takut sebenarnya. Mungkin kita ni nampak baik, tetapi sebenarnya Tuhan lindung aib kita. Tetapi jangan risau kerana saya tahu tanggungjawab saya, saya tahu pendirian dan batas saya sendiri. “Kalau ada orang nak cakap apa-apa saya akan terima sebagai satu teguran yang positif. Cuma selepas mereka tengok sendiri filem ini, baru mereka akan faham tentang situasi sebenar, dan bukanlah seperti apa yang mereka fikirkan,” katanya. Dalam filem ‘Pulau’ ini, ada babak yang memaparkan Alif menghisap rokok, kata Alif pada mulanya dia agak risau dengan babak berkenaan kerana dia sering tonjolkan imej sebagai seorang yang menjaga kesihatan. “Orang mesti akan cakap ala Alif ni sembang kencang, hujung-hujung kau hisap rokok juga walaupun sekadar di dalam filem. Sebelum nak berlakon babak itu, saya tanya pada pengarah sama ada boleh gantikan babak merokok itu dengan sesuatu yang lain. Tetapi dia tak benarkan. Kerana mengikut jalan cerita dalam skrip, ada sebab kenapa dia hisap rokok. “Sukar bagi saya untuk lakukan babak ini kerana saya bukan perokok. Untuk babak itu sahaja saya terpaksa ulang sebanyak tujuh kali. Saya pun sampai dah rasa pening dan pengarah minta saya berhenti sekejap. “Tetapi itulah dia, sebagai seorang pelakon kadang-kadang watak yang kita lakonkan memang tiada kena mengena dengan kehidupan kita. Begitu juga sebagai penyanyi. Jika menyanyi lagu putus cinta, tak semestinya saya tengah putus cinta. “Orang pernah marah saya sebab saya berlakon sebagai suami yang mempunyai dua orang isteri, Tetapi itu hanyalah watak, Kadang-kadang terguris juga dengan komen-komen netizen, tetapi nak buat macam mana, mereka mungkin tak faham. “Jadi saya hanya mengadu pada isteri dan ibu bapa saya. Saya bersyukur kerana mereka sangat memahami dan tahu apa yang saya buat,” ujarnya. Filem ‘Pulau’ bakal ditayangkan di 124 buah pawagam di seluruh negara kecuali Terengganu bermula 9 Mac 2023. Sumber: Getaran
|
ADVERTISEMENT