Video seorang guru agama yang menjalani hukuman penjara panjang kerana merogol dan membunuh mencetus kontroversi dan menjadi tular di India minggu lalu. Harian Metro melaporkan, Gurmeet Ram Rahim Singh, ketua mazhab Dera Sacha Sauda keluar dari penjara dengan parol dan memotong kek bersama Honeypreet Insan, seorang wanita muda yang dipanggil anak angkatnya.
Lapor BBC ,sambutan itu adalah untuk menandakan akaun Instagramnya mencapai sejuta pengikut. Beberapa hari sebelum itu, satu lagi video menjadi tular yang menunjukkan lelaki itu memotong kek lain yang lebih besar dengan pedang. Video itu menjadi tajuk utama di India, dengan pengkritik bertanya mengapa pihak berkuasa membenarkan Ram Rahim dibebaskan tanpa syarat.
Ram Rahim ditahan di penjara Sunaria di negeri Haryana di utara sejak Ogos 2017 apabila dia disabitkan kesalahan merogol dua pengikut wanita dan dihantar ke penjara selama 20 tahun. Pada 2019, dia dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup kerana membunuh seorang wartawan dan pada 2021, dia menerima satu lagi hukuman penjara seumur hidup atas pembunuhan salah seorang pekerjanya pada 2002. Tetapi walaupun disabitkan dengan jenayah berat seperti itu, Ram Rahim dilihat keluar dari penjara selama 131 hari dalam tempoh 13 bulan yang lalu, malah diberi cuti 21 hari pada Februari 2022; parol pada Jun selama 30 hari dan sekali lagi pada Oktober selama 40 hari. Pada 21 Januari, dia dibenarkan keluar selama 40 hari lagi. Seorang pegawai dari Singh Dera Sacha Sauda memberitahu BBC, "parol adalah hak semua banduan, ia adalah hak asasi manusia". "Dia menghabiskan masanya dalam wacana rohani, dia bekerja keras untuk menangani masalah orang ramai, bekerja pada program menghalang ketagihan," kata pegawai itu, mendakwa setiap hari 100,000 orang berhenti dadah kerana dia. Pembebasan Singh disambut dengan kekecewaan di media sosial sekali gus mencetus pertanyaan ramai mengenai bagaimana seorang lelaki yang didapati bersalah melakukan jenayah seperti rogol dan pembunuhan boleh dibenarkan keluar dari penjara. Justeru, pertubuhan agama tertinggi Sikhisme, Jawatankuasa Shiromani Gurdwara Parbandhak (SGPC) memfailkan petisyen di mahkamah mencabar parolnya dengan mengatakan, "ia menghantar mesej yang salah kepada masyarakat." Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT