Kereta dipandu menantu terbabas dan melanggar belakang sebuah treler jam 6.30 pagi tadi di Kilometer 334.4, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara menyebabkan wanita warga emas maut.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, Ng Gim Chuang, 81, meninggal dunia akibat cedera parah di wad kecemasan Hospital Tapah. Tambahnya, sebelum nahas itu telah berlaku kemalangan membabitkan treler muatan alat ganti kereta yang dalam perjalanan dari Johor menuju ke Padang Besar, Perlis. Treler dipandu lelaki berusia 42 tahun itu hilang kawalan lalu terbabas melanggar pembahagi jalan besi di tengah lebuh raya.
Katanya, pihak PLUS telah meletakkan kon keselamatan dan lampu amaran di belakang treler berkenaan sebagai langkah berjaga-jaga, namun, sebuah Toyota Camry yang dalam perjalanan menuju arah sama hilang kawalan dan melanggar kon keselamatan itu sebelum berpusing dan melanggar belakang treler. “Dalam kemalangan ini, penumpang belakang kereta mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Tapah. Mangsa disahkan meninggal dunia di wad kecemasan pada pukul 8.15 pagi,” katanya. Menurut beliau, menantu mangsa berusia 63 tahun tidak cedera manakala anak perempuannya berusia 55 tahun mengalami luka di dahi. Pemandu dan kelindan treler tidak cedera. “Tiada tangkapan dilakukan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. Sumber
|
ADVERTISEMENT