Polis giat mengesan suspek dikenali sebagai S Sundar berusia 33 tahun dan S Philip Anthony berumur 24 tahun disyaki terbabit kes langgar lari seorang lelaki di kawasan Ambang Botanic, Bukit Tinggi, dekat sini, Ahad lalu.
Harian Metro melaporkan, polis menerima laporan lelaki warga tempatan dibawa ke Bahagian Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai dilanggar kenderaan di Ambang Botanic. Difahamkan, mangsa disahkan meninggal dunia selepas pemeriksaan lanjut dijalankan oleh pegawai perubatan. "Hasil siasatan mendapati, kejadian berlaku jam 6 pagi pada Ahad lalu. "Mangsa dipercayai dilanggar oleh sebuah kereta jenis BMW yang dipandu oleh lelaki warga tempatan secara sengaja dan bertindak menyeret kira-kira 40 meter sebelum melarikan diri. "Kejadian itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara kedua pihak di sebuah kafe di kawasan Bandar Botanik Klang sebelum suspek bertindak melanggar mangsa di tempat kejadian," kata Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong dalam kenyataan hari ini.
Pegawai perubatan mendapati mangsa mengalami luka di belakang kepala yang menyebabkan pendarahan teruk, luka lengan kiri, ibu jari tangan kanan dan patah tulang rusuk kiri. Manakala hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah 'severe chest and selvic injuries due to stuck by moving vehicle'. Hoong Fong berkata, pemeriksaan di tempat kejadian yang dijalankan Unit Forensik, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menjumpai beberapa barang yang boleh membantu siasatan. "Susulan itu Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - CARI |
ADVERTISEMENT