Seorang lelaki warga emas masih bernafas ketika dikeluarkan selepas 187 jam terperangkap di bawah runtuhan pangsapuri yang didiaminya di Mersin, Turkiye pada 14 Februari lalu. AWANI melaporkan Huseyin Berber, 62, berjaya diselamatkan selepas salah seorang petugas pasukan mencari dan menyelamat mendengar suaranya.
Pesakit kencing manis itu menceritakan detik hitam dialaminya kepada agensi berita antarabangsa pada Khamis. Katanya, dia meminum air kencingnya sendiri untuk meneruskan hidup ketika terperangkap di antara sisa runtuhan. "Saya hanya ingat ketika saya sedar telah terperangkap dalam runtuhan. Ketika itu semuanya gelap, terlalu gelap sehingga saya tidak dapat melihat badan saya sendiri. "Saya menjerit minta tolong, tetapi tiada siapa mendengar. Bangunan ini 15 tingkat, saya bersyukur bila saya dengar bunyi dari kawasan atas runtuhan, saya terus menjerit walaupun tekak saya mulai bengkak.
"Gempa kedua, siling runtuh tapi tidak kena saya. Saya terpaksa sengetkan badan dan duduk di antara runtuhan yang menimpa peti sejuk dan kabinet rumah saya. "Hanya permaidani saya guna untuk menyelimut saya sepanjang masa sebelum saya dapat mencapai satu kerusi berhampiran dan duduk menunggu diselamatkan," katanya. Selama terperangkap di bawah runtuhan itu, Huseyin yang dikejarkan ke Hospital Bandar Mersin di Wilayah Antakya untuk diberikan rawatan lanjut berkata, ketika kejadian ubat dan sebotol air jatuh ke arahnya. "Saya minum hingga habis, kemudian saya terpaksa kencing dalam botol untuk diminum. "Apabila air kencing itu sejuk, saya minum untuk selamatkan diri saya," katanya lagi. - CARI
|
ADVERTISEMENT