Sekolah agama digalakkan mendaftar sebagai sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) bagi memudahkan mereka menerima manfaat bantuan daripada kerajaan, lapor BH Online. Fadhlina Sidek berkata, sekolah agama perlu mengemukakan permohonan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) jika berhasrat berdaftar sebagai SABK.
Kata Menteri Pendidikan itu, hanya 229 sekolah agama berdaftar sebagai SABK sejak 2004 hingga 31 Januari lalu. "Sekolah yang ingin berdaftar perlu memenuhi syarat ditetapkan termasuk mempunyai premis sendiri dan dibina di atas tanah wakaf atau tanah kerajaan negeri, serta memenuhi syarat keselamatan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT). "Sekolah yang ingin berdaftar juga hendaklah melaksanakan kurikulum kebangsaan sebagaimana ditetapkan di bawah Akta 550 dan apa-apa kurikulum yang dibenarkan KPM.
"Sekolah juga hendaklah melaksanakan kokurikulum sebagaimana ditetapkan kerajaan Malaysia di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan lain," katanya di Dewan Rakyat hari ini. Tambahnya, KPM amat peka atas keperluan pendaftaran sekolah agama dengan pihak kerajaan. "Sesi perbincangan dua hala dan libat urus KPM dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pihak berkuasa agama negeri akan terus dilaksanakan bagi memastikan sekolah agama dapat didaftarkan. "Ini bagi melayakkan sekolah itu menerima bantuan dan ditadbir urus dengan baik," katanya. Beliau berkata, Seksyen 79 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) menetapkan semua institusi pendidikan hendaklah didaftarkan di bawah akta ini. Pun begotu, institusi pendidikan yang menjalankan pendidikan agama semata-mata terkecuali daripada tafsiran akta berkenaan. - CARI |
ADVERTISEMENT