Suspek samun nekad meloloskan diri lebih 20 kilometer (km) dari dicekup polis hingga melanggar kenderaan orang awam. Aksi kejar-mengejar polis dengan lelaki tempatan berusia 31 tahun menaiki Proton Inspira di Jalan Kem, Pelabuhan Klang semalam turut melibatkan tembakan, lapor Utusan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong mengesahkan pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tembak melibatkan dua kenderaan di Kampung Pendamar, kira-kira pukul 7 petang. Siasatan mendapati sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor mengejar suspek yang terlibat kes samun di Subang Jaya. “Kejadian kejar mengejar berlaku dari Banting ke Klang dan suspek memandu secara berbahaya sehingga melanggar beberapa kenderaan orang awam.
“Setibanya di kawasan Masjid Kampung Pendamar, suspek melanggar kereta digunakan polis secara agresif dan turut nyaris melanggar kenderaan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini. Polis kemudian melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan lelaki tersebut sebelum suspek melanggar bonggol jalan dan melanggar kereta orang awam lalu terbabas di tepi jalan. "Suspek kemudian melarikan diri namun berjaya diberkas di kawasan Jalan Kem bagi tindakan lanjut,” ujarnya. Semakan juga mendapati suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk dadah. “Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan cubaan bunuh. Suspek telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya bagi siasatan lanjut kes samun di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” jelasnya. - CARI
|
ADVERTISEMENT