Cadangan menggunakan pejabat pos sebagai tempat menyimpan bekalan barangan kecemasan seperti makanan, air dan peralatan tempat tidur untuk penghantaran ke kawasan pemindahan sekiranya berlaku bencana, sedang dipertimbangkan kerajaan Jepun.
Menerusi cadangan yang dilaporkan Kyodo News, pejabat pos akan digunakan sebagai gudang penyimpanan bekalan bantuan bencana serta menggunakan kenderaan agensi itu untuk menghantar bekalan ke tempat yang memerlukan. Jepun yang kini berdepan krisis kadar kelahiran rendah, mahu memanfaatkan rangkaian luas khidmat penghantaran pejabat pos di seluruh negara itu yang operasinya turut meliputi kawasan terpencil. Menurut Bernama, terdapat kira 24,000 pejabat pos di negara matahari terbit itu, namun hanya pejabat pos Sagamihara di Wilayah Kanagawa, bersempadan Tokyo, menandatangani perjanjian dengan kerajaan tempatan pada 2021 untuk menggunakan rangkaian penghantarannya bagi mengangkut bekalan bantuan ke pusat pemindahan serta lokasi lain.
Difahamkan, kerajaan mahu menggalakkan pejabat pos Sagamihara berkongsi pengetahuan dengan pejabat pos dan majlis perbandaran lain mulai April ini bagi meningkatkan respons bencana. Justeru, kabinet turut mempertimbang cadangan untuk pejabat pos menyalur maklumat status kediaman kepada kerajaan tempatan untuk mengesahkan keselamatan orang ramai sekiranya berlaku bencana. - CARI
|
ADVERTISEMENT