Naib juara AJL37 menjadi milik lagu Satu Malam Di Temasek nyanyian Sonaone dan Joe Flizzow yang dicipta sepenuhnya oleh kedua-dua penyanyi itu. Kemenangan itu sekali gus melayakkan mereka membawa pulang wang tunai berjumlah RM50,000 berserta trofi.
Lagu yang memenangi tempat ketiga pula menjadi milik Anugerah Terindah nyanyian Alif Satar & The Locos dengan membawa pulang wang tunai berjumlah RM30,000 beserta trofi.
Untuk dua tahun berturut-turut, pemenang bagi kategori vokal terbaik menjadi milik penyanyi Aina Abdul menerusi lagu Terus Hidup. Kemenangan tersebut melayakkan Aina membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM12,000 beserta trofi.
Bagi kategori persembahan terbaik pula, hasil daripada undian penonton membuahkan rezeki buat penyanyi Shiha Zikir yang menyampaikan lagu Irama apabila diumumkan sebagai pemenang sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah RM12,000 beserta trofi.
Untuk edisi AJL37, penaja utama Alha Alfa Cosmetic turut berbesar hati apabila meraikan Penyanyi Pilihan Alha Alfa yang dimenangi oleh Khai Bahar.
Kemenangan tersebut melayakkan Khai yang membawakan lagu Sengsara membawa pulang wang tunai RM12,000.
Malam kemuncak AJL37 turut diserikan dengan persembahan pembuka tirai oleh penyanyi Azlan and The Typewriter, Wany Hasrita, The Fam, Kaka, Syamel, Waris, Tuju dan Loca B.
Persembahan penutup pula diserikan dengan persembahan oleh tiga kumpulan hebat merentasi tiga zaman, Blues Gang, Exist dan Masdo.
Edisi ke-37 AJL diadili 10 juri profesional iaitu Datuk Mozhani Ismail selaku ketua juri, Noryn Aziz, Damian, Ad Samad, Khir Rahman, Datuk Acis, Altimet, LY, Jari dan Azlan Abu Hassan.
Membawakan tema ‘Dimensi Muzik’, AJL37 menggambarkan suasana industri muzik tanah air yang sentiasa rancak dengan karya-karya dari pelbagai genre muzik.
AJL 37 berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil buat julung kali menggandingkan dua hos wanita, Sherry Alhadad dan Jihan Muse bagi mengemudi acara itu. - CARI