Misteri kehilangan wanita selama 15 tahun akhirnya terbongkar. Mayatnya ditemui di dalam sebuah kenderaan yang tenggelam di dasar Tasik Norman, Carolina Utara. Kenderaan tersebut pada mulanya dikesan pada 6 Februari lalu oleh seorang nelayan yang melaporkan melihat bentuk seperti sebuah kereta ketika menggunakan alat sonar di tasik berkenaan.
Penemuan tersebut dilaporkan kepada pihak berkuasa. Ketika pasukan penyelam turun ke dalam tasik dengan menggunakan robot submersible, mereka mengesahkan sebuah kenderaan berada di bawah air. Kenderaan berkenaan kemudian dikeluarkan dari tasik dan dikenal pasti sebagai model Ford Thunderbird 1996 berwarna putih. Mayat manusia turut ditemui bersama di dalam kenderaan itu, namun identitinya masih belum dikenal pasti. Pihak berkuasa mengatakan bahawa kenderaan itu sepadan dengan keterangan maklumat melibatkan seorang wanita yang hilang hampir 15 tahun lalu.
Wanita bernama Tina Taylor Martin yang berusia 43 tahun, kali terakhir dilihat pada 13 Februari 2008, kira-kira jam 7 pagi. Keluarga Tina mendakwa, wanita itu menghubungi mereka pada pagi kehilangannya untuk memberitahu bahawa dia telah kehilangan pekerjaannya. Siasatan lanjut mendedahkan bahawa Tina sedang memandu Ford Thunderbird Coupe 1996 berwarna putih, dengan nombor pendaftaran TNJ-2783 ketika dia hilang. Siasatan terhadap kehilangan wanita tersebut masih diteruskan oleh pihak berkuasa. -CARI Sumber: mStar/Dailystar
|
ADVERTISEMENT