MELAKA: Padah memecah masuk kedai makan dan mencuri, seorang wanita dihukum penjara 30 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini. Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu terhadap Bibi Norishah Golbal Shah, 50, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pecah masuk bangunan di dua kedai makan berbeza dan mencuri wang tunai serta dua buah kamera litar tertutup (CCTV). Kesalahan pertama dilakukan antara pukul 5.02 pagi hingga 5.10 pagi di sebuah kedai bernombor di Pusat Niaga Bukit Palah, Bukit Baru dalam daerah Melaka Tengah pada 4 Oktober 2022. Kesalahan kedua pula dilakukan kira-kira pukul 12.35 pagi hingga 1.20 pagi di sebuah lot kedai bernombor di Medan Selera Melaka Sentral dalam daerah Melaka Tengah pada 23 Januari 2023.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 14 tahun dan bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh dikenakan denda dan sebat jika sabit kesalahan, mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. Tertuduh juga didakwa atas dua pertuduhan memberikan dadah kepada diri sendiri jenis methamphetamine. Kesemua kesalahan itu dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah pada 4 Julai 2022 dan 4 Februari 2023. Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali dan perintah pengawasan tidak melebihi dua tahun mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dibaca bersama Seksyen 38B akta sama. Tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Izzuddin Ab. Malek merayu hukuman ringan diberikan dengan alasan masih bujang dan perlu menjaga ibunya, selain telah menyesal. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Nora Yaacob memohon hukuman penjara dan berbentuk pengajaran kerana tertuduh berulang kali melakukan kesalahan sama. Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan bagi setiap pertuduhan pecah kedai dan mencuri, berjalan serentak dari tarikh ditangkap. Bagi kes dadah tahun lalu, mahkamah menjatuhkan penjara 10 bulan dari tarikh ditangkap, sementara hukuman kes dadah tahun ini ditangguhkan pada 13 Mac depan bagi serahan laporan patologi ujian air kencing. – CARI Sumber: Utusan Online
|
umbut replied at 10-2-2023 08:32 AM
Mental? Pengkid?
ADVERTISEMENT