“Single baharu ini bukan berkait dengan isu kecurangan kisah mana-mana pasangan”. Penyanyi Suki Low, menegaskan bahawa single ‘Bahagia Yang Sebentar’ yang hangat diperkatakan dendangannya hanya membawa kisah hidup komposernya, Shila Amzah.
Jelas Suki Low atau nama sebenar, Low Sook Yee, 33, perancangan untuk melancarkan single tersebut sudah lama dibuat dan ia tiada kaitan dengan mana-mana individu atau pun situasi. “Tidak pernah terfikir pula ada yang anggap begitu. Kalau tidak terfikir, itu maknanya, bukanlah niat asal kami. “Kalau kita baca liriknya, tidak adalah menjurus ke arah kisah yang diperkatakan. Bagi saya, Shila merupakan individu yang sangat terbuka dan pernah berkongsi kisah hidupnya dengan saya, apa yang dilakukan dan kami selalu berhubung. “Apabila Shila beri lagu ini kepada saya untuk dinyanyikan, saya bertanya kepadanya adakah dia serius memandangkan liriknya berkaitan dengan kehidupan peribadinya.
“Shila bagaimanapun tetap menyuruh saya menyanyikan lagu itu kerana dia sudah pun ‘moved on’ dan enggan mengenang kembali apa yang sudah berlaku,” katanya kepada Getaran. Jelas Suki Low lagi, bagi dirinya, lagu ‘Bahagia Yang Sebentar’ ini adalah mengenai kehilangan. “Kehilangan yang dimaksudkan dalam lirik lagu itu bukan hanya kepada perkara tertentu atau berkaitan dengan percintaan sahaja, malah dalam ahli keluarga dan juga rakan-rakan. “Lagu ini mengisahkan berkenaan kehilangan seseorang, jadi sesiapa yang pernah melalui fasa atau situasi kedukaan dalam kehidupan mereka pasti akan tersentuh ketika mendengarnya,” ujarnya. Berkongsi lanjut, Suki Low berkata, dia terharu apabila Shila memberikan lagu ini kepadanya. “Sejujurnya, saya tidak sangka dan terharu apabila mendapat lagu ini daripada Shila. Saya terima demo lagu ini daripada Shila sehari selepas program Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) berakhir, tetapi baru sempat nak rakam pada awal Januari lalu. “Jadi saya berbesar hati kerana diberi kepercayaan oleh Shila untuk menerima single ini, bagi saya dia bukan hanya penyanyi tetapi juga komposer yang bagus. “Saya berharap lagu ini dapat diterima ramai serta dapat menemani pendengar yang melalui fasa kehilangan dan menyembuhkan hati duka. Bagi saya, muzik boleh menyembuh dan memberi semangat dan saya berharap lagu ‘Bahagia Yang Sebentar’ dapat mencapai tujuan itu,” katanya. Sumber: Getaran |
ADVERTISEMENT