Luahan seorang wanita tular di media sosial, menyatakan teman lelaki yang sudah dikenalinya selama empat bulan mengajaknya untuk berkahwin. Tanpa mendedahkan identitinya, wanita itu berkata ibunya mahu merisik pada Februari ini dan majlis perkahwinan diadakan pada tahun hadapan, tetapi pasangannya itu dilihat seperti belum bersedia untuk berkongsi tentang dirinya kepada keluarga.
"Saya dengan teman lelaki baru nak masuk empat bulan, biasanya orang bercinta akan ada fasa bulan madu kan? "Tapi kami tak ada pun. Dari awal hubungan ada je gaduh apa bagai. Memang terus keluarlah perangai buruk masing-masing. "Teman lelaki saya tu muda tiga tahun daripada saya dan kalau ikutkan saya memang tak ada plan nak buka topik kahwin sebab rasa macam terlalu awal dan dia pun muda lagi. Tapi tak disangka dia yang mula buka topik kahwin ni.
"Masalahnya, dia tak cerita dekat ibu bapa dia full story," luahnya. Menurut pengadu, ibu bapanya mahu bakal menantu mereka berjumpa sendiri dan memberitahu niat untuk berkahwin kerana segala persiapan telah siap dirancang. "Kalau ikutkan mak saya memang agak memilih untuk mencari pasangan. Sampaikan bekas teman lelaki saya nak masuk meminang, mak dan abang tolak pinangan dia. "Tapi dengan teman lelaki saya sekarang, mak saya setuju sampai dah bincang dengan keluarga pasal hantaran, merisik atau bertunang. Dulu mak ayah saya letak RM10,000 tapi sebab nak mudahkan dia, mereka letak RM8,000 je dan buat doa selamat sebelah perempuan. "Macam mak saya tanya boleh tak masuk merisik bulan 2 dan semua berkaitan planning tahun depan. Mak saya memang dah seronok siap beli cadar dan bantal untuk mini pelamin apa bagai. "Sebab dia nak kahwin dengan saya, mak ayah saya nak dengar dia cakap sendiri yang dia nak kahwin dengan saya. Biar dia bagitahu niat dia dengan saya macam mana. Jadi mak ayah saya boleh tahulah sama ada dia serius atau tak. "Tapi sampai sudah... tak jumpa," ujarnya. Bagaimanapun, wanita itu berkata dia sudah memberitahu bakal suaminya itu untuk berjumpa dengan ibu bapanya dan keluarganya sendiri. Namun, akhirnya pasangan ini bergaduh dan lelaki tersebut yang meminta pengadu untuk berjumpa dan memberitahu sendiri keluarganya tentang niat mereka berdua. "Bila saya suruh dia bagitahu ibu bapa dia full story dan planning kami, dia suruh saya bagitahu ibu bapa dia ataupun minta tolong mak ayah saya untuk bagitahu yang parents saya dah plan apa semua. "Apa yang ada dalam fikiran saya waktu tu ialah betul ke aku pilih mamat ni nak jadi teman sehidup semati aku. "Saya cuma takut nanti bila kahwin, saya yang kena ke depan dan dia kekal di belakang. Sepatutnya dia yang lebih berani untuk maju sebab dia bakal jadi ketua keluarga, nak galas tanggungjawab lagi besar. Entahlah min, ada pendapat untuk masalah ni tak?" ujarnya. Rata-rata netizen memberi nasihat kepada wanita itu dengan memintanya berfikir terlebih dahulu sebelum membuat keputusan muktamad. "Sebagaimana perangai dia hari ini, begitulah perangai dia nanti. Tolonglah khususkan sikit tentang perangai pasangan. Kita nak hidup bersama lama, nanti dengan anak lagi dan serabut kerja lagi. Pilihlah pasangan yang matang dan jangan tergesa untuk berkahwin jika ragu. "Tak bertanggungjawab. Fikirkan kehidupan awak lepas nikah. Nanti semua atas bahu awak kena pikul. Penat awak. Bab cinta sayang tu semua boleh dipupuk. Janganlah jadi buta dan pekak. Next!" demikian antara komen netizen. Ada juga yang menganggap bahawa lelaki itu tidak begitu serius untuk mendirikan rumah tangga kerana tempoh berkenalan masih singkat iaitu empat bulan. "Empat bulan bercinta dah tunggang terbalik dunia. Benda kecil macam ni pun tak boleh selesaikan. Pergi je la. Ini baru benda kecil. Kalau dah kahwin lelaki campak tuala basah atas katil kiamat terus kot. "Hmm baru empat bulan? Sabarlah awak. Kemungkinan besar dia memain je tu dan tak jangka pula awak beriya. Sabar jap dan kenal lama lagi. Kalau betul dia nak kahwin dengan awak, dia sanggup buat apa sahaja. Ni bagitahu parents pun kecut. Baik kau tunda hasrat tu dulu," luah netizen. -CARI Sumber: mStar Online
|
ADVERTISEMENT