Pintu hati pernah tertutup untuk berumah tangga selepas tiga kali melalui kegagalan. Tom atau nama lengkapnya Raja Farah Afzal Raja Ikram pernah berjanji pada diri sendiri untuk meletakkan noktah buat perkahwinan.
Kehidupan sebagai ibu tunggal bersama anak-anak dijadikan fokus meniti hari. Namun, kunci hatinya terlerai sejak kehadiran seorang lelaki bernama Fuad Rahman. Segalanya berubah dan taman jiwa kembali berbunga. Seikhlasnya terbuka hati kembali menerima kehadiran Fuad, lelaki yang pernah menjadi individu penting dalam hidupnya lebih 10 tahun lalu ternyata satu anugerah. “Bagi sesetengah wanita, selepas mengalami beberapa kali kegagalan dalam rumah tangga, mereka mungkin akan serik. Begitu juga saya. “Saya sudah tiada ada hati dan jiwa untuk berkahwin lagi. Langsung tak terfikir pun untuk kembali bergelar isteri sebelum berjumpa semula dengan Fuad.
“Selepas berjumpa semula Fuad pun, saya tidak terfikir untuk ke arah itu (berkahwin) pada awalnya. Cukup sekadar untuk kembali berkawan,” jelas wanita berusia 37 tahun itu. Hubungan yang kembali terjalin akhirnya membuahkan semula bibit-bibit cinta. Hati yang dahulunya keras menjadi cair untuk seiring bersama jejaka asal Singapura itu ke fasa pernikahan. Alasannya, Tom enggan keintiman dengan Fuad menjadi buah mulut masyarakat sehingga timbulnya fitnah dan tuduhan tidak enak tentang dirinya. “Saya nak berkahwin dengan Fuad sebab dah banyak orang bercakap tentang kami. Ke sana ke sini tanpa ada ikatan. Jadi saya rasa kami kena kahwin juga. “Keluarga Fuad pun bimbang sebab kami selalu bersama walaupun pada awalnya mereka tahu saya sebenarnya tidak mahu berkahwin lagi. “Jadi untuk mengelak daripada orang bercakap, saya cuba untuk berkahwin kali keempat, sebab saya pun sudah mengenali Fuad sebelum ini,” jelasnya. Melihat perubahan sikap dan imej ‘bersih’ Fuad, Tom juga bersyukur dengan transformasi lelaki berkulit sawo matang itu yanh semakin matang seiring dengan peningkatan usia. “Alhamdulillah, Fuad sekarang pun sudah banyak berubah. Dahulu dia nakal, tapi sekarang jadi semakin sihat. Saya nampak dirinya berbeza berbanding dahulu. “Saya patut beri Fuad peluang. Walaupun kami belum berkahwin, tapi kami sedang lalui saat-saat gembira bersama,” katanya. Seperkara yang cukup disedari. Bukan Fuad sahaja yang berubah, Jujurnya, sepanjang hidup bergelar isteri dan ibu, Tom mengakui dia tidak pernah melalui pengalaman menghantar dan menjemput anak-anak pulang dari sekolah. Namun, sejak kehadiran Fuad atau nama lengkapnya, Mohamed Fuad Abdul Rahman, Tom beroleh kebahagiaan dan bahagia menguruskan anak-anak bersama lelaki itu, “Begitu juga Fuad. Dia pun mahu melalui pengalaman serupa sebab tidak berpeluang membesarkan anaknya hasil perkahwinan pertama terdahulu,” katanya. Pada masa sama, Tom bekas juara program MyStarz LG musim ketiga pada 2010 turut bersyukur apabila rezekinya dalam bidang nyanyian kembali menyinar apabila sibuk memenuhi jemputan membuat persembahan pentas, terutama selepas Gegar Vaganza musim kesembilan “Sejak kisah cinta saya dan Fuad tular, rezeki kami berdua membuat persembahan mencurah-curah. Saya sangat bersyukur atas rezeki ini. “Buat masa sekarang, saya tidak ada lagi perancangan untuk keluarkan album, mungkin suatu hari nanti. Mudah-mudahan,” jelasnya. Sumber: Kosmo
|
ADVERTISEMENT