Bahagian lantai, atas dinding serta dapur yang kotor dan berkeladak antara faktor menyebabkan 18 premis kedai makan di tiga daerah di negeri ini diarah tutup semalam. Perkara itu dikesan susulan operasi bersepadu yang digerakkan serentak di daerah Kota Setar, Pokok Sena, Sik dan Baling, dengan semua premis terbabit dikenakan tindakan penutupan selama 14 hari.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr Othman Warijo, berkata tindakan penutupan itu diambil selepas semua premis terbabit gagal mencapai tahap penilaian premis ditetapkan iaitu 75 peratus. Mengulas lanjut, katanya, kesalahan lain turut ditemui ketika pemeriksaan adalah tempat penyimpanan makanan siap dimakan serta bahan dicampur dalam peti sejuk sama. "Terdapat lantai, dapur atau bahagian atas dapur penyediaan makanan di premis yang diperiksa juga nampak kotor, berkeladak dan sebagainya yang boleh menarik minat musuh terutama lalat, tikus dan lipas.
"Selain itu, hasil pemeriksaan mendapati cara penyusunan bahan rencah tidak teratur dan dicampur dalam satu kotak termasuk yang lama dan baru. "Ia bukan saja tidak bersih, malah menjejaskan kesihatan pelanggan," katanya ketika sidang media di Jalan Pintu 10, di sini malam tadi. Selain Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), turut serta dalam operasi bersepadu itu ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta pihak berkuasa tempatan (PBT). Dr Othman sepanjang tempoh aktiviti penguatkuasaan dilakukan, sebanyak 230 premis makanan sudah pun diperiksa dan 135 notis kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan yang dikeluarkan dengan nilai tawaran kompaun sebanyak RM 39,450. "Pemilik premis sering memberikan alasan premis baru beroperasi contohnya sebulan, selain ada juga mendakwa baru mengambil alih daripada pemilik sebelumnya," katanya. Dalam pada itu, beliau berkata selain aspek kebersihan premis makanan, operasi juga tertumpu kepada penguatkuasaan kesalahan merokok, rokok elektronik dan vape di tempat makan serta pemeriksaan dan pembiakan aedes di kawasan tumpuan ramai. Bagi kesalahan di bawah akta Peraturan-Peraturan kawalan Hasil Tembakau 2004, katanya, 10 notis dengan jumlah RM 2,750 dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan. "Ia membabitkan dua notis di bawah Peraturan 11 (1)(d) iaitu merokok di kedai makan, tujuh notis di bawah Peraturan 12 (1)(a) kepada pemilik premis yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok serta satu notis dikeluarkan bagi lain-lain kesalahan. "Bagi kesalahan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 pula, sejumlah 10 premis dikesan pembiakan dengan nilai kompaun sebanyak RM 5,000," katanya. Sumber: BH Online
|
ADVERTISEMENT