Seorang bapa didakwa membunuh kekasih isterinya bersama anak lelakinya selepas mereka berdua menjumpai lelaki itu bersembunyi di dalam almari pakaian. Matthew Rodwell, 39, dikatakan takut apabila Wayne, 49, dan Riley Peckham, 23, mendapati dia sedang bersembunyi dalam almari di rumah yang dihuni bersama kekasihnya, Keery Peckham.
Dia terus menghubungi talian kecemasan 999 selepas mengetahui dua beranak itu masuk ke kediaman Peckham, Mahkamah Norwich Crown, United Kingdom diberitahu. Peckham cuba menyuruh Riley keluar selepas dia memanjat masuk melalui tingkap, tetapi anaknya itu berkata 'dia ada di sini' selepas mendapati Rodwell berada dalam almari. Pendakwa raya Riel Karmy-Jones berkata, Riley sempat mengatakan 'kamu akan mati' sebelum bapanya masuk menyertainya dalam rumah.
Peckham berkata dia mendengar pergelutan berlaku di tingkat atas dan cuba menghalang Wayne naik, panel hakim diberitahu. Tetapi mahkamah diberitahu, Wayne tetap merempuh dan pergelutan berlaku, sebelum Rodwell dan Peckham jatuh dari tangga. Wayne kemudian mula menendang, menghentak dan menumbuk badan dan muka Rodwell, kata pendakwa raya. Peckham juga dibelasah ketika dia cuba menghalang serangan dengan meletakkan badannya atas Rodwell, hakim diberitahu. Karmy-Jones berkata Rodwell mengalami 'lebih 40 kecederaan ketara akibat serangan ke atasnya.' Dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, dengan bedah siasat mendedahkan dia mati akibat dicekik. Polis yang tiba di tempat kejadian berkata mereka dapat mendengar suara jeritan dari dalam dan melihat Rodwell dalam keadaan terbaring di ruang tamu selepas Peckham yang cemas membuka pintu. Wayne ditahan di tempat kejadian selepas pada mulanya cuba bersembunyi di sebalik tirai, manakala Riley melarikan diri dalam keadaan bergari, mahkamah diberitahu. Dia ditahan beberapa jam kemudian di rumah datuk tirinya. Peckham tinggal bersama Rodwell selepas menamatkan hubungannya yang bergolak dengan Wayne, bapa kepada tiga anak yang kasar dan mengongkong. Karmy-Jones berkata Wayne boleh menjadi 'agresif' selepas minum dan merupakan 'pengaruh buruk' terhadap Riley. Selain pembunuhan, Wayne didakwa melakukan serangan yang menyebabkan kecederaan pada tubuh terhadap Peckham semasa kejadian pada 23 Januari tahun lalu. Wayne dan Riley menafikan tuduhan terhadap mereka. Perbicaraan diteruskan. -CARI Sumber: mStar/Metro UK
|
rosedemon replied at 3-2-2023 08:27 AM
mmg ptot la kena blasah kcau bini org pasaipaaaa nokarem
ADVERTISEMENT