Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pekerja sambilan di sebuah sekolah memandu kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah RM650 daripada seorang calon ujian memandu, hari ini.
Menurut sumber, wanita berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 4.30 petang ini di Pejabat SPRM Selangor ketika hadir memberi keterangan. Katanya, suspek yang juga merupakan pembantu tadbir kanan di sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) dikatakan telah meminta wang tersebut sebagai dorongan mendapatkan lesen 'gerenti lulus'. Tambah sumber tersebut, suspek berkerja di sekolah memandu di Petaling Jaya yang dimiliki oleh bapa mentuanya secara sambilan. Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009. Ujar beliau, pihaknya akan membawa suspek ke Mahkamah Sesyen Shah Alam esok bagi mendapatkan perintah permohonan reman.
Sumber: AWANI
|
ADVERTISEMENT