New York: Pasangan Amerika Syarikat ini sanggup berhabis wang termasuk menyewa jet peribadi dengan kos AS$86,868.40 (RM370,563.22) untuk mengelilingi dunia bersama tiga anjing mereka. Melanie Demi dan suaminya, Albert menyimpan wang AS$45,000 (RM191,961) selama dua tahun dan menjual harta benda untuk merealisasikan impian mereka itu.
Ini kerana anjing baka Great Dane milik mereka yang dinamakan Lucas sukar melakukan perjalanan dalam kargo dengan pesawat biasa. Satu-satunya kapal pesiaran mesra haiwan peliharaan pula tidak menerima anjing daripada baka berkenaan. Melanie, 26, berkata, perancangan mengambil masa tiga bulan serta menelan belanja lebih AS$100,000 (RM426,580) untuk keseluruhan kos penerbangan. "Kami menjual semua yang kami ada untuk membiayai pengembaraan ini. "Ramai bertanya kenapa tidak tinggalkan saja anjing di rumah, tetapi kami sebenarnya mahu mencipta kenangan bersama anjing kami," katanya.
Tiga anjing mereka, anjing baka Great Dane, Lucas, 2; anjing baka campuran Dachshund, Brooklyn, 6, serta anjing baka Golden Retriever, Cooper, 15. Ketiga-tiganya dibawa mengembara ke enam negara di Eropah selepas pasangan itu menyewa kereta untuk pemanduan di benua berkenaan. Untuk tujuan itu, perunding pemasaran media itu dan suaminya, seorang eksekutif akaun, sanggup bekerja dari jauh. Mereka berada di jalan raya selama empat bulan serta menginap di penginapan Airbnb yang mesra anjing. Mereka merancang untuk meneruskan perjalanan sehingga November ini, sebelum pulang ke Texas. Pasangan itu kini berada di Edinburgh, Scotland, tetapi merancang perjalanan ke French Riviera sebelum ke Florence, Itali; Croatia dan Kosovo dan singgah di Albania untuk melawat saudara-mara Albert. Mereka turut dijadualkan menyertai Oktoberfest di Jerman dan menyaksikan Piala Dunia Ragbi di Perancis. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT