Kluang: Wanita yang menghidapi kemurungan dibimbangi menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan selepas gagal ditemui sejak keluar dari kediaman di Taman Desa Peringat, Melor, Kelantan 29 November tahun lalu.
Menurut adik mangsa, Muhammad Afiq Azmi, 26, kali terakhir kakaknya, Norayuni Azmi, 27, yang juga anak kedua daripada lima beradik itu dikesan keluar dari sempadan Malaysia di Rantau Panjang, Kelantan pada hari yang sama. Katanya, keluarganya mengesyaki kakak yang masih bujang itu terpedaya dengan tawaran sindiket di laman sosial yang berjanji mahu memberikannya pekerjaan di Johor Bahru. "Saya mengesyaki kakak saya terpedaya dengan sindiket pekerjaan kerana saya mempunyai akses terhadap akaun media sosialnya kerana kakak perlu dipantau disebabkan tidak sihat dan sering kemurungan. "Dua tiga hari sebelum hilang, kakak beritahu dia mahu kerja di Johor Bahru dan keluarga menghalang niatnya itu kerana dia tak sihat, suka termenung dan bercakap seorang diri selain perlu makan ubat penenang setiap hari," katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, dua hari selepas hilang, dia terkejut kerana mendapati Norayuni berada di Bangkok, Thailand ketika menjejaki lokasi media sosial kakaknya. "Keluarga terperanjat kerana dia tak pernah ada pasport dan kami memang tak sedap hati takut terjadi seperti kes penipuan pekerjaan melalui Thailand ke Myanmar yang tengah tular sekarang ini," katanya. Muhammad Afiq berkata, dia sudah berusaha membuat hebahan kehilangan itu di laman sosial selain berhubung dengan Kedutaan Malaysia di sana namun usahanya buntu dan gagal menjejaki kakaknya. "Saya cuba mendapatkan maklumat di pejabat Imigresen di Kelantan dan mereka memberitahu kakak saya membuat permohonan pasport pada 21 November 2022 dan 27 November berikutnya pasportnya sudah siap dan diambil. "Pihak berkenaan memberitahu, kakak saya memasuki Thailand secara sah melalui Rantau Panjang, pada hari sama dia keluar rumah di Kota Bahru," katanya. Afiq berkata, kemudian pada 11 Disember lalu, dia mendapat pesanan daripada seorang lelaki warga Thailand di laman Facebook yang memberitahu dia menemui kad pengenalan, lesen, pasport dan beg duit kakaknya di sebuah restoran makanan segera di Bangkok. "Lelaki itu dapat mencari saya kerana hebahan di Facebook yang berisi semua butiran kakak saya dan dia memberitahu sudah melaporkan kepada polis Thailand penemuan barangan itu," katanya. Katanya, berharap bantuan pihak berkuasa menyiasat kes itu termasuk melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) restoran makanan segera itu. "Pihak Kedutaan Malaysia di Thailand sudah mengambil semua dokumen kakak dan saya berharap jasa baik mana-mana pihak untuk membantu mengesan jejak kakak saya," katanya. Katanya, ibu dan bapanya yang sudah uzur tidak diberitahu perkara yang boleh membuatkan mereka runsing dan dia terpaksa memberitahu berita positif saja mengenai kes kakaknya itu. Dia berkata, keluarga sudah membuat laporan kes kehilangan kakaknya itu di Balai Polis Melor, Kota Bahru pada 1 Disember 2022. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT