Terpaksa menaikkan sedikit harga makanan, malah ada dalam kalangan pengusahanya mengurangkan jumlah tenaga kerja bagi memastikan kelangsungan perniagaan. Ia antara dilema perlu ditempuhi peniaga makanan tempatan berikutan harga bekalan bahan mentah tidak menunjukkan tanda penurunan sejak tahun lalu.
Pengurus sebuah restoran di Sentul, Mohamed Kasim Sulaiman Ali, 30, berkata, pada hakikatnya, pengusaha sepertinya tidak mahu meningkatkan harga jualan. Namun, katanya, bekalan barangan mentah seperti ayam, telur, sayur, bawang dan pelbagai lagi semakin meningkat menyebabkan pengusaha kedai makan tersepit. "Harga juadah sebenarnya tidak boleh naik berterusan. Jika naik harga, pelanggan marah, kami juga yang susah. Lain jika di sesebuah kawasan, hanya ada sebuah kedai makanan ada, mungkin kami boleh naikkan harga.
"Namun, di kebanyakan kawasan penempatan penduduk, ramai yang mengusahakan kedai makan. Jika kami naikkan harga, pelanggan akan ke kedai lain. Kami tidak mahu pelanggan lari, kami berusaha sedaya mungkin untuk menarik pelanggan. "Namun, mungkin ada pelanggan yang tidak memahami dilema yang kami hadapi akibat peningkatan kos bahan mentah. Kerana itu, kami terpaksa naikkan harga jualan makanan," katanya. Menurut Mohamed Kasim, jika dibuat perbandingan harga antara Disember tahun lalu hingga Januari ini, harga bahan mentah semakin meningkat. Contoh, katanya, pada Disember tahun lalu, sepapan telur dibelinya pada harga RM10.40 berbanding Januari iaitu RM12.30. Ia kenaikan RM2.10 sepapan. "Malah, sebelum ini, bekalan telur senang diperoleh, namun kini ada masanya kami langsung tidak memperoleh bekalan telur. "Bahan masakan seperti sayur dan bawang juga semakin mahal. Bagi seguni bawang, harga sekilogram ialah RM22 berbanding sebelum ini iaitu antara RM16 hingga RM17.50 sekilogram. "Pada masa sama, ramai yang mengatakan sotong di kedia mamak mahal sedangkan harganya sama di mana-mana kedai sekalipun. "Sotong dijual berdasarkan saiz. Sotong segar kami beli di pasar dan harganya memang tinggi," katanya. Wartawan: Jika saya mengambil juadah iaitu sotong, nasi, sayur serta teh ais, berapa anggaran harganya? Mohamed Kassim: Harga sotong ikut saiz, ada yang RM20, RM18, RM14, RM10. Contoh, abang ambil sotong yang berharga RM14, campur sayur, nasi dengan teh ais, maka harga kiraan keseluruhannya adalah RM19. Itu untuk harga tahun ini. Tahun lalu, sotong saiz yang sama kami jual RM10. Mohamed Kassim menjelaskan, harga bekalan mentah di pasar basah juga berbeza berbanding sebelum ini. "Kini untuk harga lauk-pauk siap dimasak, puratanya dinaikkan 50 sen berbanding tahun lalu. Contoh, bagi juadah nasi, ayam, sayur dulu berharga RM6, namun kini dijual pada harga RM7. "Ini kerana, harga sayur naik 50 sen begitu juga harga ayam yang meningkat 50 sen. Air tak naik harga kecuali yang menggunakan susu. Insya-Allah kami cuba untuk memberikan harga terbaik kepada pelanggan. "Cadangan saya kepada kerajaan, mohon kurangkan harga bekalan barangan mentah makanan. Tolong lakukan kawalan harga barang mentah. "Kami perlu beli barangan pada harga tinggi, namun terpaksa mengekalkan harga jualan makanan siap," katanya. Berkaitan cadangan pihak tertentu supaya memboikot peniaga, Mohamed Kassim berpendapat ia bukan langkah terbaik kerana membeli di kedai adalah paling mudah, terutama bagi mereka yang sibuk bekerja. Selain kawalan harga, Mohamed Kassim berkata, kerajaan perlu faham dengan kemampuan pelanggan. "Jika gaji pekerja meningkat, maka sesuai jika harga makanan meningkat sedikit. Dalam hal, ini, ada asas untuk menaikkan gaji pekerja. "Ramai pelanggan yang mengadu harga makanan mahal, malah tidak mahu berkunjung lagi dan saya terpaksa terangkan berkaitan peningkatan kos bahan mentah dan lain-lain, malah peniaga juga tersepit. "Namun, saya kasihan juga kepada ramai pelanggan kerana semakin ramai yang menempah roti canai kosong kerana ia murah iaitu RM1.20 sekeping, begitu juga roti telur iaitu hanya RM2.20 sekeping," katanya. Kata Mohamed Kassim, untuk mengurangkan kos operasi, dia terpaksa memberhentikan pekerja. Menurutnya, tahun lalu, restoran diuruskannya memiliki 15 kakitangan, namun tahun ini, hanya tinggal lapan. "Ia bagi mengurangkan kos operasi seperti gaji, tempat tinggal, permit kerja dan sebagainya yang majikan perlu tanggung. "Waktu operasi juga dipendekkan. Jika dulu tutup antara jam 12 tengah malam hingga jam 2 pagi namun kini, kami beroperasi setakat sehingga jam 11 malam saja," katanya. Pada masa sama, katanya, peniaga makanan juga tidak boleh membeli minyak masak paket dan perlu membeli minyak masak botol yang lebih mahal harganya. Selain itu, katanya, sebelum ini, seguni beras 50 kilogram berharga RM120 dan terkini harganya ialah RM134. Kerana itu, katanya, pihaknya terpaksa menaikkan harga sepinggan nasi kosong daripada RM1.50 tahun lalu kepada RM2 tahun ini. Sementara itu, di Pulau Pinang, pemilik Lomaq Coffee, Shamsul Munir Safini, 39, pula berkata, kenaikan harga bekalan makanan mentah cukup dirasai, namun operasi perniagaan perlu diteruskan kerana ia adalah sumber rezeki. "Peniaga makanan kini tertekan kerana tidak dapat menaikkan harga makanan dan terpaksa berdepan pelbagai isu kenaikan kos. "Peniaga juga kecewa dengan pembekal yang kerap menggunakan sentimen kadar tukaran wang asing yang menyebabkan kenaikan berkenaan," katanya. Selain itu, katanya, barang kawalan seperti minyak, telur dan beberapa barang lain sering tiada di pasaran. "Peniaga makanan sendiri tidak jelas dengan apa yang berlaku serta punca masalah ini," katanya yang berniaga di Seberang Jaya, Perai. Menurut Shamsul Munir, setiap pengusaha sepertinya berusaha menjana ekonomi tempatan dengan perniagaan. Bagaimanapun, keadaan 'kucar-kacir' membabitkan harga barangan dan pelbagai lagi boleh meruntuhkan ekonomi peniaga itu sendiri. Shamsul Munir berkata, kerajaan perlu lebih tegas dengan pembekal terutama pemain industri ayam, minyak dan sebagainya kerana mereka umpama memperkotak-katikkan peniaga makanan yang mengharapkan bekalan daripada mereka. "Bekalan barangan mentah mengalami kenaikan antara 20 peratus hingga 40 peratus. Bagi pengusaha makanan pula, tidak boleh naikkan harga dengan banyak, puratanya sekitar lima peratus saja. "Namun, ada juga yang perlu dinaikkan harga kerana harga bahan mentah mahal. Contoh, tahun lalu, saya jual itik salai masak lemak pada harga RM15.90 dan tahun ini harganya dinaikkan kepada RM17.90. "Ada kira-kira 30 juadah dijual di Lomaq Coffee dan kebanyakannya hanya mengalami sedikit kenaikan harga, sekitar lima peratus sahaja. Ini supaya pelanggan tidak terasa terbeban," katanya. Sementara itu di Johor, pengusaha Restoran Awang Kitchen di Masai, Suryani Mohd Radzi, 27, berkata, kenaikan harga barangan makanan mentah menyebabkan peniaga sepertinya serba salah. "Walaupun kami peniaga, kami juga pengguna. Oleh itu, kami faham dengan beban yang ditanggung pengguna. Sebagai peniaga restoran, kami cuba mengawal harga sebaik yang mungkin supaya tidak membebankan pelanggan kami. "Pada masa sama, kami juga meletakkan harapan tinggi supaya kerajaan dapat memperkenalkan mekanisme bagi mengawal harga barang agar ia dapat dinikmati oleh semua peringkat pengguna, pengeluar dan peniaga," katanya. Sumber: Harian Metro
|
Mulotkoyak replied at 25-1-2023 01:26 PM
Yang aku pelik time harga barang trun xde sekor peniaga pun nk trun kan balik harga makanan. Mungkin ...
noor2 replied at 25-1-2023 01:27 PM
Pelanggan tahu komplen je......masakla sendiri bawak bekal dari rumah...jimat pun jimat, kebersihan ...
ifanonline replied at 25-1-2023 05:07 PM
sudah tiba masanya rakyat malaysia masak kat rumah...susah sangat ke nak masak?
ifanonline replied at 25-1-2023 05:07 PM
sudah tiba masanya rakyat malaysia masak kat rumah...susah sangat ke nak masak?
ADVERTISEMENT