Mahkamah Majistret di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang pakar psikiatri daripada pertuduhan menyebut perkataan lucah terhadap bekas pesakitnya, empat tahun lepas.
Majistret Nurshahira Abdul Salim memutuskan demikian tanpa memanggil Dr. Gurdeep Singh Narain Singh, 45, membela diri terhadap pertuduhan tersebut. Dalam keputusannya, Nurshahira berkata, mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan saksi-saksi pendakwaan serta meneliti eksibit-eksibit dan menimbang dokumen-dokumen yang difailkan oleh kedua-dua pihak. “Mahkamah berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh,” jelas Nurshahira.
Kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Farhanah Fuad Mohamad Faiz manakala Dr. Gurdeep Singh diwakili peguam Datuk Mohd. Haaziq Pillay. Seramai sembilan saksi pendakwaan termasuk mangsa dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pertengahan 2020. Turut hadir dalam prosiding hari ini, peguam Francis Pereira bertindak sebagai peguam pemerhati bagi pihak pengadu. Pada 24 Januari 2020, Dr. Gurdeep Singh didakwa mengganggu kesantunan seorang wanita berusia 26 tahun yang merupakan bekas pesakitnya dengan menyebut perkataan lucah untuk didengari mangsa. Kejadian didakwa berlaku di sebuah hospital swasta di Kota Damansara pada 4.30 petang, 12 Februari 2019. Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya. Sumber: UTUSAN
|
ADVERTISEMENT