Seorang remaja ditemui lemas di air terjun Laman 3 Budaya, Asahan, pada jam 1.29 pagi tadi. Mangsa, Muhammad Radif Azahari, 19 tahun, dilaporkan hilang sejak jam 7 petang dalam hutan selepas pergi bersama seorang rakannya. Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jasin (BBP) Jasin, Penguasa Bomba Kanan II, Seleman Tugi berkata, rakan mangsa telah membuat laporan di Balai Polis Tangkak Johor dan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.24 malam bagi memohon bantuan mencari mangsa. “Operasi mencari dan menyelamat dilakukan dalam jarak 500 meter dari kawasan mangsa dipercayai hilang.
“Selepas hampir tiga jam operasi dijalankan, pasukan bomba menemui mangsa lemas di kawasan air terjun dan disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan. Jelas Seleman, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke hospital bagi bedah siasat dan operasi tamat pada jam 2.36 pagi. Sumber: MalaysiaGazette
|
ADVERTISEMENT