Kenaikan tambang bas sekolah setiap kali menjelang sesi persekolahan tahun baharu sepatutnya tidak lagi menjadi isu kerana ia telah diregulasikan oleh kerajaan, kata Presiden Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM), Mohd Rofik Mohd Yusof.
Selain itu, beliau menjelaskan, ibu bapa boleh berbincang dengan pengusaha bas sekolah untuk menetapkan kadar tambang atau caj yang dipersetujui bersama berpandukan situasi 'menang-menang'. "Tambang bas sekolah tidak lagi menjadi isu kerana kita sedia maklum ia telah diregulasikan oleh pihak kerajaan. Segelintir ibu bapa mungkin tidak faham mengenai perkara ini. "Sebenarnya kadar tambang ini mesti dipersetujui kedua-dua pihak, iaitu pengusaha dan ibu bapa. Jika ibu bapa tidak bersetuju, mereka mempunyai pilihan untuk mendapatkan perkhidmatan pengusaha bas sekolah yang lain.
"Justeru, mereka perlu menggunakan budi bicara untuk menetapkan kadar tambang yang munasabah dan dipersetujui bersama," katanya, di sini, hari ini. Beliau mengulas kenyataan Presiden Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat yang dilaporkan berkata kadar tambang bas sekolah berkemungkinan naik mulai sesi persekolahan Januari ini. Amali Munif dipetik berkata, kenaikan itu tidak dapat dielakkan berikutan kos operasi yang meningkat disebabkan harga alat ganti yang tinggi, kenaikan gaji pemandu dan persaingan daripada pengusaha tidak berlesen. Mengulas lanjut, Mohd Rofik yang juga Pengerusi Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas Sekolah Negeri Sembilan (PPBSNS) berkata, kenaikan tambang bas sekolah adalah bagi menyerap kos operasi yang tinggi, namun pada kadar munasabah dan tidak tinggi. Beliau memaklumkan, kos gaji pemandu bas sekolah ketika ini ialah antara faktor mempengaruhi kenaikan kadar tambang perkhidmatan itu. "Permintaan terhadap pemandu bas sekolah ketika ini meningkat dan pada masa sama, pengusaha terpaksa membayar gaji mereka secara penuh dalam setahun walaupun sesi penggal persekolahan berubah. "Keadaan ini meningkatkan kos operasi pengusaha, di samping kenaikan harga alat ganti kenderaan," katanya. Mohd Rofik berkata, pengusaha bas sekolah bersedia untuk bertolak ansur dari segi kadar tambang, malah setiap ruang diberikan untuk kedua-dua pihak meliputi ibu bapa untuk membuat keputusan. "Orang ramai juga harus memahami bahawa pengusaha bas sekolah hanya bergantung pada hasil pendapatan itu untuk menyara keluarga. Oleh itu, harus ada ruang untuk bertolak ansur dengan mengambil kira kepentingan perkhidmatan berkenaan," katanya. Sumber: BH Online
|
saviour_09 replied at 30-12-2022 07:37 AM
Amali Munif dipetik berkata, kenaikan itu tidak dapat dielakkan berikutan kos operasi yang meningkat ...
AbukRokok replied at 30-12-2022 03:46 PM
Dlm ertikata
Lu xpuas hati tambang baru gi cari bas lain
Buritan replied at 30-12-2022 04:53 PM
Antar aje laa anak sendiri.. lebih slmt.. mak benti koje.. bpk sorang je koje.. aman hidup
Suchi replied at 30-12-2022 05:52 PM
Susah2 sgt gomen sediakan bas utk sekolah. Pemandu bas tu kira penjawat awam.
Sekolah pun selalu je ...
ADVERTISEMENT