Tambang bas sekolah mungkin akan naik pada Januari disebabkan kos overhed yang meningkat, kata badan persatuan bas sekolah. Presiden Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia Amali Munif Rahmat memetik harga alat ganti yang lebih tinggi, kenaikan gaji pemandu, dan persaingan daripada pengusaha tidak berlesen.
Setiausaha Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) Tunku Munawirah Putra memberikan maklum balas dengan berkata, kerajaan perlu menyediakan subsidi tambang bas dalam bentuk baucar bagi meringankan beban keluarga B40 yang mempunyai anak bersekolah. Menurut Amali, pengusaha bas sekolah terjejas apabila sekolah ditutup untuk tempoh yang lama ekoran wabak Covid-19, menyebabkan ramai antara mereka gulung tikar dan pemandu dibuang kerja. Katanya, sukar mencari pemandu tanpa memberikan gaji yang lumayan. Gaji semasa RM2,000 sebulan tidak menarik kerana pemandu boleh memperoleh jumlah itu untuk kerja yang kurang tekanan. “Kami pernah mempunyai kira-kira 16,000 pengusaha tetapi telah berkurangan kepada kira-kira separuh,” katanya kepada FMT. “Selain kenaikan kos operasi, bas sekolah berlesen berdepan cabaran serius daripada pengusaha haram yang menawarkan perkhidmatan yang lebih murah. “Sukar mendapatkan pemandu sekarang ini kerana mereka lebih gemar memandu koc ekspres dan lori, bukan sahaja mereka dibayar lebih tetapi juga kurang tekanan. (Jika memandu bas sekolah), mereka malah tidak boleh cuti sakit kerana akan mengganggu persekolahan murid.” Mengenai unjuran tambang yang lebih tinggi, Amali berkata, pihaknya telah mengeluarkan garis panduan mengenai kadar bulanan mengikut perkhidmatan yang disediakan dan jarak, serta faktor lain. Tambang boleh menjadi antara RM50 hingga RM1,000 kerana segelintir ibu bapa mahukan bas yang sangat selesa serta boleh dikesan dengan GPS. Tunku Munawirah menegaskan bahawa tambang bas sekolah yang lebih mahal ialah isu yang sering dibangkitkan, tetapi tiada penyelesaian ditemui. Justeru, katanya, kerajaan perlu campur tangan. “Kerajaan harus memberikan baucar tunai kepada mereka yang memerlukannya, terutama keluarga B40. Sesetengah ibu bapa mungkin tidak mampu untuk menghantar anak mereka ke sekolah dan ini boleh menyebabkan mereka tercicir (dalam persekolahan) jika tidak dibantu,” katanya. Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) N Marimuthu berkata, isu itu mesti diselesaikan sebelum penggal persekolahan dibuka kerana ada keluarga yang terpaksa membayar tambang bas sekolah sebanyak RM500 untuk anak-anak mereka. “Secara khususnya, keluarga B40 memerlukan sokongan kerajaan kerana mereka mungkin mempunyai sehingga lima anak. Selain itu, pengusaha dan pemandu bas sekolah juga akan mendapat manfaat daripada subsidi kerana mereka terjejas teruk oleh wabak. “Ramai pemandu kehilangan pekerjaan dan subsidi akan membantu mereka bangkit semula,” katanya. Sumber: FMT
|
Thunderclouds replied at 29-12-2022 01:41 PM
Sikit² nk harap krjn sapot. Sikit² krjn nk kna bg bantuan. Branak ramai ja tau. Kos gembala ank ni ...
ADVERTISEMENT