Aktor berpengalaman, Datuk Rosyam Nor, 55, menolak melakukan aksi tidak tentu arah dalam media sosial untuk kekal relevan dalam industri hiburan.
Biarpun tidak ketinggalan memiliki akaun TikTok yang menjadi kegilaan generasi baharu, namun Rosyam memilih berkongsi kandungan yang berilmiah dan bermanfaat. "Saya memiliki akaun TikTok dan mengikuti 'trend' generasi muda dalam media sosial. Bagaimanapun, saya tidaklah melakukan aksi yang generasi muda buat. "Sebagai pelakon, saya memang perlu ada akaun seperti TikTok, tetapi kandungan macam mana yang saya mahu kongsi, itu lebih penting. "Bila jadi selebriti, saya mahu kandungan dikongsi diikuti ramai, bukan ikut kandungan yang orang lain buat.
"Misalnya, saya suka kandungan dikongsikan bintang antarabangsa seperti Will Smith dan Denzel Washington. Kandungan dikongsi berunsur ilmiah," katanya kepada BH Online. Bagi Rosyam, kandungan bermanfaat seperti itulah yang boleh membuatkan pelakon berpengalaman sepertinya terus dihormati. "Pada usianya sekarang tak perlulah saya berusaha berkongsi kandungan semata-mata mahu membuatkan nama tular. "TikTok adalah zaman generasi muda, jadi kalau saya ikut trend berjoget tidak tentu arah, tak manis rasanya. "Ada juga satu atau dua kandungan yang dibuat bila rakan mengajaknya, tetapi tidaklah setiap hari saya mahu keluarkan kandungan terkinja-kinja tidak tentu arah. "Saya tak mahu ada yang cakap saya tidak sedar diri," katanya yang ketika sesi fotografi filem terbaru berjudul Duan Nago Bogho di Balai Berita NSTP, baru-baru ini. Mengulas filem arahan Sabri Yunus itu, Rosyam berkata, dia teruja berpeluang bekerja di bawah arahan pengarah berkaliber itu buat kali pertama. "Watak saya dalam filem ini tidak besar, tetapi saya melihat kredibiliti Sabri sebagai pengarah dan menjadi faktor utama saya menerima tawaran berlakon filem ini. "Saya melihat Sabri memiliki sentuhan berbeza dan tersendiri. Sebenarnya, sudah lama saya bertanya bila Sabri mahu memanggil saya berlakon, sebab karya arahannya rata-rata menggunakan loghat Kelantan. "Alhamdulillah, akhirnya saya berpeluang, tetapi saya membawa watak gangster di Bukit Bintang, jadi ia tidak memerlukan saya bertutur dalam loghat Kelantan," katanya. Selain Rosyam, filem Duan Nago Bogho terbitan Kalamarif Holdings Sdn Bhd itu turut dibintangi Sangeeta Krishnasamy, Jojo Goh, Asrul Faizal, Angeline Tan dan Issey Fadzlisham dan bakal ditayangkan di pawagam mulai 19 Januari depan. Filem bergenre aksi itu menggabungkan elemen aksi dan seni budaya seperti tarian mak yong sebagai tarikan utama. Sumber: BH Online
|
ADVERTISEMENT