Yamani Abdillah tidak terasa hati apabila nyanyiannya dibandingkan dengan adik sendiri, Zaki Abdillah apabila mereka bergandingan dalam program Famili Duo.
Yamani atau Osama Yamani Jamal Ubaidillah, 21, berkata, dia sebenarnya bangga dengan bakat nyanyian dimiliki Zaki dan tidak mengambil hati dengan komen juri terhadapnya. "Saya bangga sebab dia boleh buat lebih daripada saya... dia seorang penyanyi yang bagus. "Kalau orang cakap adik saya lagi bagus, saya tak ambil hati. Saya akan cabar diri untuk buat lebih baik. Kita akan sama-sama membantu," katanya kepada mStar. Mengulas mengenai terbawa-bawa identiti bapanya, Yamani memberitahu sukar untuknya lari daripada bayangan Jamal kerana mereka memiliki suara yang hampir mirip.
"Sejujurnya saya nak lari daripada identiti Babah (panggilan buat Jamal) agak sukar kerana suara pun hampir sama. Tapi kalau nyanyi lagu orang lain akan nampak beza. "Tapi kalau menyanyikan lagu Babah akan automatik sama, sebab itu kami tak ambil lagu dia... saya memang elak lagu Jamal Abdillah," jelasnya.
|
ADVERTISEMENT