'King of the road' sememangnya antara kereta yang menjadi pilihan ramai sehingga model ini sering dilihat tanpa mengira lokasi dan pemandunya. Pemiliknya mungkin berdepan cabaran untuk membezakan kenderaan sendiri dengan milik orang lain jika tidak meneliti nombor plat kenderaan masing-masing.
Begitulah 'insiden' dilalui seorang gadis, Rabiatul Adawaiyah, 33, yang tersilap menaiki kereta orang lain ketika mahu pulang dari kedai runcit. Ketika dihubungi mStar, adiknya, Rabiatul Najwa, 22, berkongsi cerita yang berlaku di sebalik video yang dimuat naiknya di laman sosial sehingga menjadi tular. "Masa tu saya mula rasa tak sihat badan. Saya tak larat nak pandu kereta sendiri. Jadi masa pergi dan balik kedai tu saya minta kakak yang pandu kereta saya.
"Macam mana kejadian tu berlaku... waktu tekan 'unlock' pada kunci tu memang kereta saya berbunyi. Tapi kereta saya parking jauh sikit dari kedai. Kebetulan kereta yang sama dengan saya Myvi standard hitam tu parking dekat. "Kereta tu tuan dia tak 'kunci' pintu jadi kakak pun dengan confident masuk dan start enjin Myvi salah tu. Dia kunci kereta lepas tu dia 'rem rem rem' (bunyi tekan minyak),” katanya. Lebih mesra disapa Wawa, katanya, kesilapan tersebut hanya disedarinya setelah lima minit kakaknya berada di dalam kereta berkenaan. Dia yang bekerja di sebuah kedai perabot turut mengulas mengenai kekeliruan netizen mengenai bagaimana kenderaan tersebut boleh dihidupkan enjin tanpa kunci. Wawa tampil menjelaskan bahawa sebenarnya pemilik Myvi tersebut meninggalkan kunci di dalam kenderaan itu tanpa menguncinya. "Plat kereta orang lain tu huruf S.U.E tapi saya punya S.U.G jadi kakak pun tak perasan salah kereta. Lepas saya tengok dia start enjin kereta tu, saya terus berlari jumpa dia. "Sambil ketawa saya beritahu dia salah kereta. Kereta kami memang warna pun sama. Dalam kereta kami ada jajan, Myvi tu pun ada. Nasib baik tak sempat makan dalam kereta yang salah tu. "Kakak saya memang suka terlebih yakin. Perangai dia yang terlalu confident dekat Shopee pun tak ada jual!" ujar Wawa secara berseloroh. Menurut Wawa yang menetap di Sungai Besar, Selangor, setakat ini pemilik Myvi tersebut tidak mengetahui tentang insiden tersilap masuk kereta. Video yang dimuat naik Wawa di laman TikTok meraih lebih 1.1 juta tontonan. Rata-rata netizen terhibur menyaksikan gelagat si kakak yang tersalah menaiki kereta orang lain. Mengenai kereta Myvi miliknya, Wawa menyuarakan hasrat untuk melakukan pengubahsuai bagi memberi sedikit kelainan pada kenderaan itu. Pada masa sama, dia juga berharap agar insiden seperti itu tidak berulang lagi pada masa akan datang. Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT